SULTAN JOHOR : Jangan Fitnah, Saya Percayakan MB


Sultan Johor mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak menangguk di air keruh dengan membuat fitnah terhadap kepimpinan negeri.
Baginda bertitah masih percaya terhadap kepimpinan sedia ada, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin.

"Saya masih percaya dengan menteri besar sekarang dan yakin dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang ada," titahnya.

Minggu lalu, timbul desas-desus bahawa menteri besar Johor akan ditukar seperti Kedah.

Shukur, anak kepada Speaker Johor Tan Sri Mohamad Aziz, mendakwa terdapat gerakan untuk menukar Khaled yang diketuai oleh seorang timbalan menteri di negeri itu.

Shukur juga mendakwa gerakan itu juga merancang untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno yang digantung tugas, di peringkat akar umbi.

BANK OF JOHOR

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini bertitah mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan sebuah bank sendiri yang dinamakan sebagai Bank of Johor.

Baginda bertitah, masih ramai rakyat di negeri ini yang tidak dapat memiliki rumah kerana gagal mendapatkan pinjaman bank meskipun kerajaan negeri dan Persekutuan terus komited dalam membina lebih banyak rumah mampu milik.

"Bank ini akan memberikan perkhidmatan perbankan kepada rakyat Johor bukan sahaja untuk tujuan pinjaman perumahan atau pembiayaan projek pembangunan, tetapi juga untuk simpanan tabungan dan pelaburan.

"Tambahan pula dengan rizab wang tunai kerajaan negeri yang mencecah RM3 bilion dan pendapatan kerajaan serta anak syarikat milik kerajaan negeri mencecah RM7.5 bilion setahun, sudah pasti mereka boleh menjadi pemegang saham untuk Bank of Johor ini," titah baginda.

Baginda bertitah ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan.

1 ulasan:

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....