PANAS MELAMPAU : Sila Ambil Perhatian, Mencegah Itu Lebih Baik....


ATLET negara yang melakukan aktiviti di kawasan luar kecuali sukan akuatik, dinasihatkan membatalkannya jika suhu melebihi 36 darjah celsius bagi meminimumkan risiko strok haba.

Institut Sukan Negara (ISN) dalam kenyataan menyarankan atlet terlibat supaya melakukan aktiviti sukan di tempat redup atau dalam dewan.

Atlet negara juga disarankan merendahkan intensiti aktiviti sukan selain mengehadkan tempoh bersukan kurang daripada satu jam bagi setiap sesi sekiranya suhu berada antara 31 dan 35 darjah celsius.

"ISN juga turut mengesyorkan kepada persatuan sukan kebangsaan atau penganjur kejohanan, jika boleh untuk menunda sebarang aktiviti fizikal luar bagi memastikan tahap kesihatan atlet dan penonton terjamin andai fenomena El Nino berterusan," tambah kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan ISN akan memantau selain memberi kenyataan nasihat dari semasa ke semasa mengenai situasi dan fenomena yang sedang melanda negara ketika ini.

Jabatan Meteorologi sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa negara akan berhadapan dengan cuaca panas dan kering sehingga suku pertama tahun ini yang akan dirasai di seluruh negara.

Fenomena El Nino adalah disebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 dan 60 peratus serta penambahan suhu sekitar 0.5 hingga dua darjah celsius berbanding suhu biasa. - Bernama

Sekadar berkongsi posting saudari Effa Adnan untuk kita ambil ikhtibar. Mencegah itu lebih baik dari mengubatnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....