PETALING JAYA: Keraguan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah terhadap himpunan 27 Mac depan menandakan keangkuhan, kata Zaid Ibrahim.
“Beliau merasakan hanya dia sahaja yang mulia tindakannya, manakala orang lain pula punyai motif yang mencurigakan,” kata bekas menteri undang-undang itu ketika dihubungi FMT.
Sebelum ini, Maria menyuarakan kebimbangan akan cadangan Zaid menganjurkan himpunan pada 27 Mac depan bagi mendesak Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara meletak jawatan.
Maria juga dilaporkan berkata himpunan seperti itu sewajarnya lebih dari sekadar kenderaan untuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjayakan agenda menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menjawab dakwaan agenda himpunan 27 Mac tidak jelas, Zaid berkata Bersih 2.0 juga bermula dengan satu matlamat tunggal iaitu pilihan raya adil dan bersih, namun akhirnya mengendong pelbagai tuntutan.
Bersih 2.0 merupakan perikatan yang memperjuangkan reformasi pilihan raya. Bagaimanapun pada tunjuk perasaan yang dianjurkan tahun lalu, perikatan itu turut menuntut Najib supaya bertanggungjawab diatas isu 1Malaysia Berhad dengan meletak jawatan.
Zaid menegaskan himpunan aman yang dicadangkan itu mahu Najib, Tan Sri Apandi Ali dan Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tanggungjawab diatas tindakan masing-masing.
“Yang mana lebih jelas?” aju Zaid.
Menurutnya lagi, beliau telah berhubung dengan Maria menyentuh kebimbangan perhimpunan itu mempromosikan agenda “Tun Mahathir Mohamad”.
Bagi Zaid, kebimbangan itu bukan sesuatu yang boleh beliau tangani: “Ada yang akan sentiasa mencurigai Tun M walau apa pun yang beliau lakukan.”
Awal bulan ini peguam merangkap ahli politik itu menyeru satu himpunan aman diadakan bulan depan dengan sebab Najib telah meleraikan institusi awam dengan melantik “tukang angguk” ke badan-badan kerajaan.
Zaid menggesa rakyat supaya turun bersama Mahathir dalam usaha mendesak Najib turun dari tampuk perdana menteri.
-FMT
Zaid ni menghasut ke apa?
BalasPadam