Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan satu kenaikan gaji tahunan kepada para penjawat awam pada 1 Julai seperti yang telah dijanjikan dalam Bajet 2016 yang diumumkan sebelum ini.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan bahawa, kerajaan tidak akan memberhentikan mana-mana penjawat awam termasuk latihan secara kontrak.
"Program pemberian BR1M dan bantuan kebajikan akan terus dilaksanakan dan ingin saya tegaskan bahawa kerajaan juga akan mengekalkan kadar GST seperti sedia ada,"katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan langkah-langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek berimpak tinggi berpaksikan falsafah ekonomi rakyat.
"Langkah perbelanjaan berhemat itu tidak akan melibatkan emolumen kakitangan awam, pencen pesara dan tidak akan menjejaskan mekanisme penyampaian kerajaan.
"Meskipun situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah memberi kesan kepada hasil negara yang dianggarkan berkurangan RM7 hingga RM9 bilion berbanding dengan unjuran hasil negara pada harga minyak AS$48 (RM202.42) setong.
"Kerajaan tidak sesekali berkompromi terhadap apa yang betul untuk negara dan rakyat," jelasnya. - K! ONLINE
PEMBELIAN RUMAH PERTAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000, terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia berkuat kuasa serta-merta ke atas projek perumahan baharu.
Selain itu, beliau berkata kerajaan akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah yang ditawarkan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), agensi-agensi serta sektor swasta.
"Lebih 100,000 unit rumah akan ditawarkan dalam program ini," katanya pada Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 di sini hari ini.
Bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga RM35,000, Najib berkata kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar 4 peratus dengan dana berjumlah RM400 juta, bermula 1 Mac tahun ini.
"Inisiatif ini akan memanfaatkan sejumlah lebih daripada 10,000 pemilik rumah," katanya. - BERNAMA
11 langkah pengubahsuaian Bajet 2016
1. Mengurangkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus mulai Mac ini;
2. Pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah bagi tahun taksiran 2015;
3. Mengurangkan kos harga barangan keperluan harian rakyat;
4. Kesemua penjualan rumah berharga RM300,000 ke bawah ditetapkan hanya untuk pembeli rumah pertama sahaja serta tawaran pakej pembiayaan rumah rakyat berharga RM35,000 ke bawah melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat;
5. Penyediaan dana hasil sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF berjumlah RM200 juta bagi meningkatkan kompetensi dan kemahiran pekerja;
6. Mempertingkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil;
7. Kadar levi pekerja asing dikelompokkan kepada dua kategori sahaja;
8. Kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaan terutamanya bekalan dan perkhidmatan;
9. Tumpu projek pembangunan yang mendahulukan kepentingan rakyat;
10. Institusi kewangan pembangunan (DFI) dan dana modal teroka (VC) milik kerajaan akan menambah dana pembiayaan sebanyak RM6 bilion; dan
11. Syarikat milik kerajaan (GLC) laksana inisiatif bagi mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja secara berperingkat.
- UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....