MH17 : Kain Pelikat, Sapu Tangan Sebagai Pengubat Duka Dan Rindu


PETALING JAYA: Sapu tangan dan kain pelikat milik juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin menjadi kenangan terakhir yang berharga buat isteri dan dua anaknya.
Isteri Allahyarham Kapten Wan Amran iaitu Mariyam Yusoff berkata, kedua-dua barang tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri selain menjadi pengubat rindu buat mereka selamanya.

Katanya, ia antara 30 barang terakhir yang dibawa arwah suaminya semasa bertugas ke Amsterdam pada 15 Julai 2014, beberapa hari sebelum nahas pesawat MH17.

“Saya selalu gosok sapu tangan arwah dan lipat elok-elok sebelum meletakkannya ke dalam poket uniform arwah setiap kali dia bertugas dan kain pelikat pula, arwah selalu pakai untuk bersolat.

"Dua barang ini yang paling menyentuh perasaan kami anak-beranak,” katanya

Allahyarham Kapten Wan Amran (belakang, kanan) dan Mariyam (belakang, kiri) bersama dua anak mereka, Wan Yunus Uzair (depan ,kiri) dan Wan Yusuf Irfan.

Portal berita online pada Khamis melaporkan Mariyam menerima barang peribadi milik arwah suaminya ketika mengendalikan pesawat yang terbabit dalam nahas.

Tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine 17 Julai 2014 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sehingga mengorbankan kesemua 295 penumpang dan anak kapal.

Kesemua barang yang diterima Mariyam disimpan di dalam sebuah kotak, disertakan dengan lampiran yang mempunyai logo sebuah firma yang pakar dalam bidang pengurusan krisis dan tindak balas bencana di seluruh dunia.

Lampiran itu mengandungi senarai barangan dengan nombor rujukan, keterangan barang dan jenis keadaannya.

Senarai itu menyebut “Bagi pihak Malaysia Airlines, kami dengan segala hormatnya memulangkan kepada puan barangan berikut yang dikenal pasti sebagai milik Allahyarham Kapten Wan Amran Bin Wan Hussin.”

Keterangan itu menambah: “Kami telah menjaga dan mengendalikan barangan ini dengan penuh hormat sewaktu ia berada di dalam jagaan kami.”

Setiap barang dikategorikan mengikut keadaan masing-masing - sangat baik, baik, sederhana, tidak memuaskan atau sangat tidak memuaskan.

Dua sapu tangan milik Allahyarham Kapten Wan Amran - warna biru dan putih dalam keadaan baik.

Hanya dua barang dalam keadaan yang ‘sangat tidak memuaskan’ iaitu sebahagian lencana “Malaysia Airlines wing” dan buku kecil “Malaysia Operations Rating”.

Antara barangan lain seperti baju, seluar, kad bank, tali pinggang, minyak wangi, baju hujan termasuk Buku Malaysia Airlines "Personal Flight Log". 

Mariyam berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya saat menerima kotak itu daripada seorang juruterbang MAS yang juga rakan arwah dan seorang wakil syarikat penerbangan negara itu.

“Saya terpaku. Sukar untuk gambarkan perasaan saya. Macam-macam saya rasa antara bersyukur, gembira, sedih sampai hendak menangis pun ada.

“Pada awalnya, saya sebak bila nak terima barang-barang ini kerana hakikatnya dia sudah meninggalkan kami, tetapi sekarang kami rasa arwah semakin dekat dalam ingatan kami,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada dua anak ini turut berkongsi harapannya untuk mendapatkan barang-barang milik arwah yang lain seperti dompet dan uniform yang dipakai semasa tugasan terakhir kerana ia bersifat peribadi.

Ditanya apakah yang akan dibuat terhadap barang-barang tersebut, Mariyam menjelaskan kesemuanya akan disimpan dengan baik sebagai kenangan istimewa.


“Barang-barang ini telah pun dibersihkan sebelum diserahkan kepada kami. Jadi, kami akan simpan dengan baik bersama barang-barang milik arwah yang lain.

“Bila kami rindu teramat sangat, kami akan cium pakaian arwah, baunya masih segar di ingatan,” katanya sambil turut mendoakan kesejahteraan dan keberkatan arwah.

Terdahulu, Mariyam berkata, dia akan menunggu kepulangan anak sulungnya Wan Yunus Uzair, 13, dari sekolah asrama pada Jumaat sebelum membukanya bersama-sama dengan seorang lagi anaknya, Wan Yusuf Irfan, 11.

“Tak sabar nak buka tapi kena tunggu Nush (panggilan untuk Wan Yunus) dulu. Semoga barang-barang ini terubat rindu di hati yang lara,” ujarnya menahan sebak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....