#KedahBergolak : Najib Minta Lebih Masa, Calon MB Tidak Seperti Dijangka?


Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak meminta lebih masa bagi menyelesaikan krisis politik kepimpinan Umno di Kedah, kata sumber. 

Menurut sumber, perkara itu dinyatakan Najib dalam pertemuan dengan Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua sayap, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen Umno negeri itu di PWTC pada Jumaat. “PM faham dan terima desakan yang dibuat oleh Umno Kedah tetapi presiden minta masa untuk buat keputusan. 

“Kata PM, beliau kena teliti dulu prosedur-prosedur yang ada dan menyemak undang-undang,” kata sumber sambil tambah Najib berjanji akan buat keputusan dalam masa terdekat. Politik Kedah bergolak apabila Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah baru-baru ini mengadakan sidang media menolak kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar. 

Ahmad Bashah ketika mengadakan sidang media sebelum ini mendesak Najib melakukan rombakan terhadap kepimpinan parti di Kedah. Menurut sumber, Ahmad Bashah memaklumkan kepada Najib bahawa keputusan untuk menukar Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah adalah keputusan sebulat suara perhubungan. 

Bagaimanapun, Najib ketika mengakhiri ucapannya kata sumber memberi nasihat kepada kepimpinan parti supaya tidak mementingkan diri sendiri. “PM kata, beliau mahu pilihan raya dan semua orang tidak boleh fikir tentang diri mereka seorang sahaja,” kata sumber. 

Najib hadir di Dewan Tun Hussien Onn pada jam 4.45 petang untuk berjumpa dengan kepimpinan Umno negeri Kedah dan beredar pada jam 5.20 petang.

Beberapa pemimpin Umno Kedah enggan mendedahkan hasil perbincangan selepas pertemuan dengan presiden Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ada di antara mereka yang berkata, tiada peluang kedua akan diberikan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dua ahli Parlimen negeri itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dari Baling dan Dr Mansor Abd Rahman dari Sik, berkata mereka tidak boleh memberi komen mengenai apa yang berlangsung pada sesi bersama perdana menteri itu.


"Tidak boleh bagi komen, minta maaf. Terima kasih," kata Mansor kepada wartawan ketika ditanya mengenai pertemuan itu yang diadakan susulan sidang akhbar 14 ketua Umno bahagian pada Rabu yang mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Mukhriz.

Sementara itu, Azeez berkata, sesi dengan Najib itu berjalan dengan baik, namun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang dicapai.

"Semua berjalan dengan baik, tidak apa-apa. Tidak boleh komen," katanya yang juga pengerusi Tabung Haji.

Manakala, seorang ahli Umno Kedah yang enggan namanya didedahkan memberitahu, mereka tidak berhasrat memberi peluang kedua kepada anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Tidak ada peluang kedua buat beliau, kami dah sepakat," katanya yang sebelum itu turut menghadiri sesi bersama Najib itu.

Hari ini, pemimpin Umno negeri diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan pertemuan tertutup dengan Najib bagi membincangkan kemelut jawatan menteri besar.

Pada Rabu, 14 daripada 15 ketua Umno bahagian mengisytiharkan mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz dan mahu beliau disingkirkan sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Ahmad Bashah yang mengetuai sidang akhbar itu berkata, Mukhriz gagal menyatukan kepimpinan parti dan jentera, dan tiada strategi untuk Umno Kedah menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Mengikut desas-desus sebelum ini, 3 calon "Ahmad" disebut-sebut sebagai MB Kedah yang baru bagi menggantikan Mukhriz. BOLEH RUJUK DI SINI

Mungkinkah akan ada kejutan dari Najib? Mana tahu calon MB Kedah adalah dari kalangan yang tidak dijangka? Atau berlakunya perundingan di mana Mukhriz dikekalkan sebagai MB Kedah?

Apapun pilihan dan keputusan Najib, kemelut ini perlu diselesaikan dengan segera. Kepentingan dan kebajikan rakyat perlu diutamakan. Rakyat sekarang tidak mengikut dan akur begitu sahaja dengan keputusan kepimpinan negara. Walaupun Presiden bergantung kepada sokongan Ketua Bahagian, namun sokongan akar umbi dilupa jangan.

1 ulasan:

  1. Keputusan apa lagi, keputusan nak menjahanamkan UMNO dan Barisan Nasional di Kedah ke?

    Berdasarkan kajian oleh Jabatan Penerangan Kedah, majoriti rakyat Kedah pelbagai lapisan umur, pelbagai bangsa memberikan sokongan yang besar terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz.

    Malahan berdasarkan hasil laporan itu juga, jika Datuk Seri Mukhriz dipecat dari jawatan Menteri Besar, maka Barisan Nasional akan mengalami kekalahan teruk di Kedah dalam PRU 14 kelak.

    Najib sudahlah mempunyai reputasi buruk sebagai Perdana Menteri yang korup berkaitan kes SRC International dan kes RM 2.6 bilion yang kononnya derma dari Arab Saudi, apakah Najib nak menambahkan lagi koleksi reputasi buruknya dengan menyebabkan hilangnya sokongan rakyat Kedah terhadap Barisan Nasional di Kedah dalam PRU 14 akan datang dan jika ini dibuat juga, dan Barisan Nasional kalah teruk di Kedah, maka Najib perlu bertanggungjawab atas perkara ini.

    Rakyat kedah berdasarkan hasil kajian oleh Jabatan Penerangan Negeri Kedah selepas selepas pemberontakan Bashah Boboi juga menunjukkan lebih 90% rakyat Kedah menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Mukhriz dan kurang 10% yang sokong Bashah Boboi, dan hasil rumusan dari kajian oleh Jabatan Penerangan Negeri Kedah itu adalah jika berlaku pertukaran Menteri Besar Kedah daripada Datuk Seri Mukhriz kepada ADUN lain terutama Bashah Boboi dan kawan-kawannya itu, maka Barisan Nasional berdasarkan hasil kajian akan kalah dalam PRU 14 samada di DUN atau di parlimen.

    Sedarlah semua.

    Salam perjuangan A Ba Ta,

    Ikhlas daripada,

    Abu Bakar

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....