JIHAD : Dekati Belia, Jangan Terpedaya Dakwah Media Sosial


Golongan belia perlu didekati dan diberi fahaman jelas berhubung jihad dalam konteks Islam yang sebenar bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gerakan radikal seperti militan IS yang jelas tersasar daripada ajaran agama sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, untuk melaksanakan pendekatan terbabit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai belia seharusnya mendekati peringkat belia seusia mereka ini.

Dalam usaha ini katanya, kerajaan juga perlu mengadakan kerjasama dengan pihak NGO terbabit bagi membantu melaksanakan pendekatan sebenar bagi memastikan golongan itu tidak mudah terjebak.

“Mereka ini mudah terpengaruh dengan anasir luar dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Islam tidak mengajar melalukan keganasan sebagai jihad,”katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penangkapan empat belia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dan seorang lagi di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Setiawangsa, yang dipercayai terlibat dalam gerakan militan IS.

Terdahulu Asyraf Wajdi menghadiri majlis dialog belia anjuran Majlis Belia Kelantan (MBK) semalam, turut dihadiri Yang Dipertua MBK, Syahbuddin Hashim.


Jangan Percaya Bulat-Bulat Dakwah Media Sosial

Rujuk jabatan agama dan jangan percaya 'bulat-bulat' dakwah di media sosial walaupun tokoh itu berpenampilan 'warak'.

Beliau khuatir kebebasan bersuara di media sosial memberi peluang kepada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mendoktrinasikan fahaman sesat.

"Sekarang ini, sangat mudah untuk menipu, ada pula mereka yang jahat ambil peluang tipu soal-soal agama atas sebab tersendiri.

"Saya risau, mereka yang baharu jinak-jinak dalam bidang agama, bersemangat untuk belajar, mencari jalan mudah, berguru dengan video-video di YouTube contohnya, tanpa penjelasan sebenar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video-video ceramah yang menjadi fenomena dan dikongsi di laman-laman media sosial.

Asyraf Wajdi berkata penularan dakwah bebas melalui media sosial jika tidak ditapis dikhuatiri boleh mengundang kecenderungan perlakuan ekstremisme.

"Pada zaman sekarang bukan sahaja ada 'Ustaz YouTube' malah 'Ustaz WhatsApp' pun wujud serta lain-lain lagi, di mana mereka hanya perlu merakamkan video mereka dan sebarkan kepada orang ramai melalui laman sosial.

"Saya lihat masyarakat tidak lagi membaca dan hanya hendak mendapatkan maklumat dengan melihat rakaman video dan itu sudah mencukupi bagi mereka," katanya. 

Justeru, beliau mencadangkan supaya jawatan 'pemantau' diwujudkan melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama supaya kegiatan ini dapat dikekang. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....