DILEMA : Perbankan Islam Tidak Islamik?


SAYA tertarik dengan isu yang dimainkan oleh beberapa personaliti Facebook berkenaan Perbankan Islam yang zalim, tidak adil dan tidak Islamik. Tuduhan seterusnya adalah Penasihat Syariah yang ‘menghalalkan’ produk perbankan yang berasakan ‘money creation’ daripada sistem ‘fractional reserve’ dan ‘velocity of money’.

Saya tidak pelik atas tuduhan mereka kerana dahulu saya juga seperti mereka, rasa hebat mengkritik sesuatu yang kononnya kita tahu dan pakar dalam isu tersebut. Lebih-lebih lagi akibat terpengaruh dengan ‘mazhab’ dinaris Sheikh Imran Hossein melalui YouTube dan buku karangannya yang menyeru kita kembali kepada pengamalan emas sebagai medium transaksi.

Kritikan makin berapi-berapi apabila berbincang dengan pakar akademik dan profesor yang mengkaji TEORI perbankan Islam dengan topik ‘substance over form’ paling hangat dibincangkan dengan kesimpulannya, perbankan Islam hanyalah kosmetik kepada perbankan konvensional.

Tetapi persepsi saya berubah apabila berhujah dengan salah seorang penasihat Syariah bank. Soalan yang mudah tetapi tidak mampu untuk dijawab oleh pengkritik perbankan Islam sehingga kini – “Selain perbankan konvensional, apa alternatif yang umat Islam ada?”

Ya, baru saya sedar bahawa selama ini ‘academic exercise’ hanyalah syok sendiri dan leka berteori. Kritikan-kritikan pedas hanya gah buat diri sendiri tetapi tiada solusi. Masyarakat awam masih selesa dan terperangkap dalam sistem konvensional. Teori menggunakan emas, dinar walaupun indah tapi masih belum memulakan langkah pertama. Seperti sebuah kumpulan yang melaungkan slogan Negara Islam dengan menolak demokrasi haram tetapi tidak tahu bagaimana ingin dicapai.

Setakat hari ini, saya akui bahawa sistem kewangan Islam masih belum sempurna bahkan masih terdapat banyak kelemahan tetapi saya melihat sendiri hari demi hari penambahbaikan itu berlaku dan ada ‘force’ daripada dalam dan luar bank yang ingin pembaikan itu terus berlaku. Kita membicarakan soal ingin menggantikan sistem taghut jahiliyyah konvensional yang dicipta Zionis, Rothschild dan Jesuit, maka kita perlu gantikan ia dengan SISTEM yang lebih baik. Bukan sistem teori semata-mata yang sedap disebut tetapi tidak boleh dilaksanakan.

Saya yakin pengamal perbankan Islam terbuka dengan sebarang cadangan dan sistem yang lebih baik (jika ada) tetapi yang ada hari ini adalah kritikan tanpa solusi, kritikan menghina tanpa membina, kritikan yang hanya meninggalkan masyarakat awam dengan beberapa pilihan:

1) kembali ke perbankan konvensional 
2) simpan duit di bawah bantal dan tunggu sehingga cukup wang untuk membeli aset.

Jika masyarakat memilih yang kedua, maka Alhamdulillah, selamat daripada sistem jahiliyyah tetapi dalam masa yang sama bangsa lain terus menikmati pertambahan pemilikan aset dan menguasai ekonomi negara. Jika memilih yang pertama maka ia lebih mudarat, kerana kembali semula ke Jahiliyyah yang mengamalkan sistem riba yang jelas. Maka jika disebabkan oleh kritikan tersebut masyarakat kembali kepada konvensional, adakah si pengkritik merasa puas hati dan apa pula saham yang diperolehi kerana tidak menyediakan alternatif lain?

Adakah kita ingin memperlihatkan Islam yang rigid dan tidak waqi’i? Atau kita memilih kemudaratan yang lebih ringan antara dua mudarat dalam realiti semasa hari ini? Bukankah Islam menyuruh kita meninggalkan perkara haram yang jelas? Adakah maqasid syara’ itu menjaga maslahah ummah dan menghindari daripada mudarat?

Kita boleh duduk sepanjang hari mencari kesalahan perbankan Islam tetapi ‘Pemimpin hari ini menyediakan solusi, bukan hanya pandai mengkritik.’

Ibrahim Mohd Hasan Al Hafiz
Presiden Pembina 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....