VAPE SAH HARAM - Muzakarah Khas Majlis Fatwa Kebangsaan


Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan rokok elektronik, termasuk vape adalah haram.


Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dalam satu sidang media khas di Hotel Sama-Sama, di Putrajaya, malam Isnin.

Ketetapan itu dibuat selepas jawatankuasa bersidang hari ini, bagi mendengar penjelasan pakar daripada pelbagai pihak, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti maklumat dan bukti perubatan dari dalam dan luar negara mengenai kesan penggunaanya kepada kesihatan.

“Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa rokok elektronik, termasuk vape adalah haram,” katanya sambil menegaskan bahawa dari sudut Qisas penggunaan rokok elektronik dan vape adalah sama dengan perbuatan minuman bahan beracun dan menghisap rokok konvensional.

Selain itu, rokok elektronik dan vape juga diharamkan berdasarkan Qaedah Saad Al-Zaraia iaitu menutup keburukan yang lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam adalah dilarang menghisap vape atau menyediakan perkhidmatan menghisap vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengannya.

“Vape juga memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara yang jijik seperti memudaratkan dan bau busuk,” katanya.

Beliau juga mahu semua negeri mengikuti keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, selain menghargai usaha beberapa negeri yang sudah bertindak awal memfatwakan haram dan melarang penjualannya.

Isu penjualan dan penggunaan vape menjadi bualan hangat sejak beberapa bulan lalu dengan beberapa pihak mempertahankan tindakan menjualnya dengan mendakwa produk itu kononnya lebih selamat berbanding rokok.

Sementara itu, KKM yang menyatakan ia tidak selamat sejak awal lagi, bercadang menggubal undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik, termasuk vape selepas Kabinet bersetuju untuk tidak mengharamkan penggunaanya.

Setakat ini, dua negeri, Kedah dan Pulau Pinang sudah mengeluarkan fatwa pengharaman vape iaitu pada November dan awal bulan ini.

Ini kemudian diikuti kerajaan Johor yang mengharamkan terus sebarang aktiviti penjualan vape secara rasmi mulai 1 Januari 2016.

Langkah sama juga dibuat kerajaan Kelantan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula menetapkan bahawa penjualan rokok elektronik, termasuk vape dan barangan berkaitannya sebagai tidak sah dan haram berikutan ketiadaan lesen dikeluarkan bagi tujuan itu.

Keputusan ini juga selari dengan ketetapan dibuat jawatankuasa itu sebelum ini terhadap rokok, yang diputuskan haram pada 23 Mac 1995 serta shisha pada 17 Julai 2013.

Setakat ini juga, penggunaan rokok elektronik sudah diharamkan di Singapura; Brunei; Hong Kong; Emeriah Arab Bersatu (UAE); Arab Saudi; Britain; Argentina; Brazil; Kemboja; Mexico; Panama; Qatar dan Turki.

1 ulasan:

  1. Terima kasih. Faham. Cuma tak faham mengapa tak ada fatwa tentang G25. Kenapa.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....