INSIDEN LOW YAT : AG Perjelas Kenapa Ali Tinju "Dilepaskan!"


Tiada kes hasutan terhadap bekas tentera Mohd Ali Baharom kerana pihak polis tidak dapat menyediakan sebarang rakaman audio mengenai dakwaan kenyataan berunsur hasutan yang didakwa dibuat semasa insiden di gedung Low Yat Julai lalu, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Rakaman sebenar tidak mencukupi. Ia hanya beberapa saat... Kita terlepas bahagian 'menghasut'," kata Apandi dalam temubual dengan portal berita The Malaysian Insider.

Katanya beliau memberitahu pihak polis bahawa itu tidak mencukupi dan meminta mereka mencari lagi dan pihak polis berkata mereka 'tidak dapat cari'.

Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju didakwa atas tuduhan menghasut pada bulan Julai dan dibebaskan pada 17 September, selepas Jabatan Peguam Negara menggugurkan pertuduhan itu kerana tidak cukup bukti.

"Sebagai pendakwa raya, saya akan meneliti apa sahaja yang disampaikan kepada saya, iaitu dari IP (kertas siasatan). Dari IP, saya dapati bahawa bukti tidak mencukupi.

"Itu membuat perkara menjadi sukar. Saya tidak melihat orang ini sebagai 'Ali Tinju', saya tidak mengenalinya. Tetapi jika bukti tidak cukup, maka bukti tidak cukup," kata Apandi (foto) dalam temubual itu .

Katanya, beliau mempunyai budi bicara mutlak untuk meneruskan sesuatu kes dan menafikan dipengaruhi oleh sesiapa pun.

Apandi juga berkata Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji semua kes yang didakwa di bawah Akta Hasutan untuk memastikan ia mempunyai 99 peratus peluang untuk mendapat sabitan sebelum membawa kes itu ke mahkamah.

Berikutan itu, Pejabat Peguam Negara mungkin menggugurkan satu pertuduhan hasutan terhadap seorang wakil rakyat pembangkang.

"Saya sedang mengkaji semula (kes-kes ini). Malah ada satu kes terhadap seorang anggota pembangkang, seorang wakil rakyat... Saya sedang meneliti kes itu dan kemungkinan besar akan menarik balik pertuduhan itu," kata Apandi.

"Tetapi jika ia lebih kurang tidak jelas, saya akan menarik balik (pertuduhan). Kerana pendirian saya ialah saya mesti mempunyai peluang 99 peratus berjaya (mendapatkan sabitan), barulah saya akan meneruskan (pertuduhan)."

Menurutnya, Akta Hasutan, yang hebat dikritik, masih relevan.

Apandi juga menafikan bahawa Akta Hasutan telah disalahgunakan, dengan berkata itu adalah semata-mata persepsi awam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....