TOL NAIK : Syarikat Konsesi Pertahan Tindakan


Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menafikan dakwaan bahawa penyelarasan kadar tol baharu yang diumumkan akan memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi.


Sebaliknya, penyelarasan kadar tol itu bagi membolehkan anggota PSKLM terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

PSKLM menerusi kenyataan pada Rabu berkata, adalah tidak benar untuk membuat tuduhan seperti itu yang seolah-olah mahu memberi gambaran bahawa konsesi cuba mengaut keuntungan dikala berlaku kenaikan terhadap perkara-perkara tertentu yang menekan pengguna ketika ini.

“PSKLM memahami dan memberi perhatian serius kepada semua reaksi yang diberikan.

“Di bawah Dasar Penswastaan Lebuh Raya Bertol pada awal 1980an, usaha membangunkan lebuh raya adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan penglibatan terus pihak swasta.

“Di bawah dasar ini, syarikat konsesi akan menanggung segala perbelanjaan untuk membina sesebuah sesuatu lebuh raya dan sebagai balasannya, dibenarkan untuk mengutip tol untuk satu tempoh konsesi yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ramai mendakwa kenaikan harga barang akan berlaku akibat dari penyelarasan kadar tol.

Bagaimanapun, kenaikan harga barang dicatatkan setiap tahun walaupun tanpa penyelarasan kadar tol.

“Kenaikan harga barang adalah ekoran daripada pelbagai faktor, antaranya kenaikan harga minyak global dan sikap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan yang berlebihan dari penyelarasan kadar tol ini.

“Sehubungan itu, kami ingin menyeru agar pihak berkuasa turut sama memantau akan kenaikan harga barang yang menggunakan penyelarasan kadar tol sebagai alasan,” katanya.

Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan itu sebagai gila.

“Mereka mungkin gila!” kata Datuk Nadzim Johan berhubung kenaikan kadar tol yang diumumkan syarikat-syarikat konsesi pada Isnin.

Nadzim yang terkejut dengan pengumuman itu berkata ia adalah masa yang salah untuk kerajaan membuat keputusan tersebut kerana rakyat Malaysia masih terasa bahang dari peristiwa ekonomi lalu mahupun terkini di samping kenaikan harga barangan keperluan.

“Bagaimana kerajaan boleh meluluskan ini? Mereka tidak boleh memikirkan dengan menaikkan harga tol sekarang. Ia adalah masa yang salah dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penyusutan nilai ringgit. Malah, harga petrol juga naik.

“Ia tidak masuk akal untuk sesiapa sahaja mengambil kesempatan daripada pengguna sekarang,” katanya.

Nadzim berkata pengguna telah lama menderita selama bertahun-tahun dengan membayar tol dan keputusan ini hanya akan memburukkan nama kerajaan sekali gus mengakibatkan kehilangan sokongan pengguna.

Tambahan pula, Nadzim berkata dengan tol yang dikonsesikan, syarikat-syarikat konsesi perlu meminta tempoh lanjutan jika situasinya adalah tidak cukup duit.

“Jika mereka diberi konsesi selama 20 tahun dan situasinya mungkin mereka tidak boleh membayar gaji (pekerja), mintalah tempoh lanjutan. Itu tidak mengapa.

“Saya tidak nampak sebarang sebab untuk membebankan pengguna. Biarlah mereka selesaikan,” katanya.

Seorang pengguna media sosial Facebook, Ashley Greig dilihat mengkritik kerajaan dan menyalahkan pihak berkuasa untuk kenaikan harga tol, dengan secara sinis berkata:

(Ambillah lagi wang kami. Kami semua dapat banyak kan? Kos hidup kami sangat murah kan? Kami sangat sayangkan negara kerana itu kami sanggup berlapar supaya menteri kita boleh hidup dengan baik kan? Naikkahlah. Naikkanlah.)

Sementara itu, Renu Thiaga seolah-olah turut kecewa dengan berita itu, yang menyatakan bahawa kehidupan akan menjadi lebih sukar apabila kenaikan harga ini dilaksanakan: “Semuanya naik, saya tidak tahu bagaimana nak hidup.”

Tinjauan di Twitter pula mendapati, rata-rata melahirkan rasa marah dengan kenaikan kadar tol yang baru itu.

@ramduater mempersoalkan rasional di sebalik kenaikan harga dengan secara terus melontarkan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak:

“apa rasional kadar tol, lrt dinaikan dan knpa (kenapa) kadar tol, lrt mesti dinaikkan @NajibRazak??”

“Memang gila, bayar tol RM3 hanya untuk terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Anda tahu, daripada sesak 45 minit, mari nikmati kesesakan 30 minit dalam terowong,” kata @jimiecheng merujuk kepada kenaikan kadar tol terowong Smart.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....