PEDAS DARI RIDHUAN TEE : Apa Lagi MCA Mahu?


MCA perlu membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Cina, barulah boleh menuntut ini dan itu. Jika tidak, tidak perlu tertalu bising sangat, buat kerja-kerja asas dahulu untuk memenangi hati orang Cina.  Siasat dahulu sebelum menuduh. Malu jika pemimpin buat kenyataan semberono.  

Cadangan, buatlah kajian akademik kenapa MCA, mahupun Gerakan dan SUPP tidak mendapat perhatian orang Cina. Isu Cina babi dan Sekolah Vernakular yang dibangkitkan, perlu juga dilihat secara positif, kenapa Melayu memberi respon sedemikian, tentu ada sebab.

Melayu Islam yang saya kenali tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat jika mereka tidak marah. Jika mereka marah, usahkan Cina babi, macam-macam lagi yang lebih teruk dari babi yang akan keluar. Ini perkara biasa, Melayu pantang dicabar dan rasa tercabar. Cuba fahami psiki orang Melayu sebagaimana saya fahami.

Sudah acap kali saya sebut dalam ceramah dan tulisan bahawa  saya amat tidak bersetuju dengan kata-kata kesat stereotaip seperti Cina babi, Cina mampus, dan sebagainya.

Tidak kurang pula yang memuji seperti Cina rajin, Cina pandai berniaga dan pujian positif yang lain. Justeru, janganlah terlalu sensitif, sehingga terlalu memaksa.  

Apabila PM berkata, SJKC akan terus kekal dalam sistem pendidikan, maka buatlah penambahbaikan supaya operasi tidak terlalu kecinaan, sehingga lebih Cina daripada Cina di negara China.

Biar pelat sedikit dalam basa ibunda, tak apa? Asalkan bahasa Kebangsaan dimartabatkan. Begitu juga, jika mahu UEC diiktiraf, maka ikutlah syarat-syarat KPM. Kenapa sudah sangat mahu memenuhi permintaan KPM? Bukan mahu mengasimilasikan orang Cina.

Pernahkah kajian dibuat, kenapa pelajar berada dalam Universiti Awam mahupun Swasta, masih lagi hidup dalam kotak perkauman. Pergi kekelas, duduk sesama mereka, keluar kelas, ke kantin sesama mereka. Boleh dikatakan, kita akan nampak dengan jelas tompok, putih, hitam, antara keduanya, di dalam dan di luar kelas.

Bila Presiden MCA berucap "negara kita sedang diancam", sebenarnya dituju kepada siapa? Siapa mengancam siapa? Ancaman kepada keselamatan nasional adalah apabila agenda negara tidak dihayati. Misalnya, soal bahasa, semangat patriotisme dan sebagainya.

Terlalu obses dengan jawatan dan mahukan itu dan ini juga membahayakan sebab mencabar kesabaran Melayu. Mana tidaknya, kekuatan tidak seberapa, masih tidak sedar diri. Orang Melayu diminta berkorban, sedangkan diri sendiri tidak menampakkan pengorbanan tersebut.

Ikutlah tindak-tanduk Parti Progresif Penduduk (PPP), bersedia mlepaskan kerusi yang ditandinginya kepada Gerakan jika itu yang diminta. PPP bukan sebuah parti yang mementingkan kerusi. Sebaliknya mementingkan perpaduan dalam BN dan semangat kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

Pada PRU-13, PPP gagal memenangi semua kerusi yang diambil dari Gerakan. Apakah Gerakan boleh memenangi kerusi tersebut jika diberi semula? Jangan haraplah. Gerakan jangan takbur. Seperti syor saya minggu lalu kepada MCA, Gerakan juga tidak layak untuk menduduki kerusi kabinet berasaskan kepada prestasinya. Namun, diberi juga atas nama setiakawan.

Berbalik kepada MCA, cadangan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat, tidak perlu kerana kita sudah ada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Perkukuhkan JPNIN. Ketuanya juga adalah orang Cina.

MCA juga mendesak mahu menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan. Mungkin MCA mahu mencontohi kejayaan Bank Rakyat. Tak puas lagi dengan apa yang ada? Apa lagi MCA mahu?

Bayangkan selepas ini semua parti BN mahu menubuhkan bank koperasi, apakah kerajaan juga akan tunduk? Cadangan saya, jutawan-jutawan MCA yang telah dikayakan oleh kerajaan, tampillah membantu orang Cina. Jangan hanya kayakan keluarga sendiri sahaja. Bayangkan daripada 40 terkaya di Malaysia, hampir 30 adalah orang Cina yang dikayakan oleh kerajaan, masih tidak mampukah untuk bantu orang Cina yang lain sehingga terpaksa tubuh bank?

Zaman globalisasi hari ini kerajaan sibuk untuk mengecilkan bilangan bank, MCA pulak mahu menambah bank kerana gatal punggung melihat kejayaan bank rakyat. Kenapa begitu ultra kiasu.

MCA janganlah terlalu fokus kepada ekonomi sangat kerana kedudukan orang Cina secara puratanya sudah teguh. Jika mahu fokuspun, tumpukan kepada Cina yang masih gelandangan atau mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Tidak perlu menyenangkan lagi yang sudah kenyang.

Fokus utama kini adalah fikirkan bagaimana mahu merapatkan hubungan kaum Cina-Melayu terutama melalui pendidikan. Bantulah kerajaan untuk memberikan kefahaman kepada NGO ultra kiasu, terutama penambahbaikan SJKC  supaya operasinya tidak terlalu kecinaan seperti saya syorkan minggu lalu.

Jika asimilasi itu sudah ditolak sepenuhnya, integrasi dan akomodasi yang menjadi keutamaan, lakukan yang terbaik untuk menjunjung agenda negara, bukan mewujudkan negara dalam negara.

Jika perkara ini tidak diperbaiki, tidak mustahil akan muncul banyak lagi perhimpunan baju merah melawan kuning. Perkataan yang lebih kesat akan keluar. Ketika itu tidak guna lagi beremosi.

Tulisan oleh Dr Ridhuan Tee Abdullah (SUMBER)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....