SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) dari Bachok, Kelantan mendakwa dipukul oleh isterinya dengan menggunakan penyangkut baju plastik di lengan dan bahu selepas bergaduh gara-gara sehelai selimut.
Perkara itu didedahkan oleh Mohd. Bazely Mohamed Amin, 28, yang bisu dan pekak sejak lahir ketika memberi keterangan dengan menggunakan bahasa isyarat di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, pada Selasa.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah malam di rumah kediaman mereka yang terletak di Bandar Baru Kubang Kerian, pada 5 November 2014 lalu.
Lebih mengejutkan, Mohd. Bazely mendakwa ketika kejadian dia malah turut disembur dengan penyembur racun serangga oleh bekas isterinya, Noor Ashiqin Azmi.
“Dalam kejadian itu, saya bergaduh dengan isteri kerana dia mahu selimut.
“Isteri kemudian mengambil penyangkut baju plastik dan terus memukul lengan dan bahu saya,” ujarnya dalam prosiding perbicaraan.
Selepas kejadian itu, mangsa mendakwa telah pulang ke rumah ibunya yang terletak di Bachok.
Menurut Mohd. Bazely, itu adalah kejadian pertama berlaku namun sebelum kejadian, isterinya sering menyembur penyembur serangga kepadanya termasuk ketika dia berada dalam bilik air.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam bela, Mohd. Faizal Hazim Abdul Rahman yang mewakili tertuduh berhubung dakwaan bahawa dia pernah mengasari isterinya.
Ini termasuk menolak wanita tersebut sehingga terjatuh dan mengalami keguguran sebelum kejadian berkenaan, tetapi Mohd. Bazely menafikan perkara itu.
“Saya tidak pernah menolaknya.
“Setahu saya dia tidak mengandung dan saya pun tidak tahu dia mengandung,” katanya.
Sementara itu, tertuduh, Noor Ashiwin yang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencederakan suaminya itu telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tertuduh dan mangsa kini sudah bercerai selepas dua bulan berkahwin.
Perbicaraan di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed bersambung 24 November depan.
Sumber: Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....