"Ada ketika, kami terpaksa makan roti untuk alas perut jika putus wang untuk beli beras dan lauk." luah seorang daripada dua beradik yang hidup dalam serba kekurangan di Kampung Pulau, Mukim Telaga Mas.
Awaluddin Shaari, 56, dan kakaknya, Fatimah, 75, bukan sahaja tinggal dalam rumah usang, malah bekalan air bersih juga tiada dan hanya bergantung harap dengan air perigi.
Awaluddin berkata, selepas bapanya meninggal dunia 30 tahun lalu, dia menjaga kakaknya yang mempunyai masalah mental dengan meraih pendapatan sebagai penoreh getah.
Menurutnya, pendapatannya hanya RM400 sebulan dan jumlah itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan mereka berdua.
"Jika hujan, pendapatan saya akan terjejas dan kami terpaksa mengikat perut.
"Kadangkala saya terpaksa berhutang untuk membeli makanan kami berdua," katanya kepada Sinar Harian.
Awaluddin berkata, kini dia memang menggunakan sepenuhnya air telaga untuk melakukan rutin harian.
"Bila tiba musim kemarau, air perigi ini akan bertukar warna, namun kami tiada pilihan lain dan terpaksa menggunakannya walaupun bimbang akan membawa penyakit," katanya.
Katanya, dia bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan, malah rumahnya juga perlu dibaiki segera kerana sudah reput akibat dimakan anai-anai.
"Kini bahagian dapur rumah saya tidak boleh digunakan lagi," katanya yang sangat berharap rumah yang berusia lebih 50 tahun dapat dibaiki.
Tambahnya, sebelum ini, dia pernah memohon bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.
"Oleh itu, saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami berdua,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....