Pengalaman yang dialami oleh PAS akibat pertembungan dalaman telah menyaksikan muncul pelbagai parti kecil yang melambatkan proses perubahan kesedaran politik di kalangan rakyat.
Sejarah PAS yang panjang menyaksikan bagaimana campur tangan pihak luar yang meresap masuk ke dalam parti dengan mengapi-apikan rasa tidak puas hati, melaga-lagakan pimpinan dan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan menyebabkan berlakunya perpecahan.
Kemelut dalaman yang berlaku ini tidak dinafikan sangat mengecewakan rakyat. Kerana setiap kali berlaku krisis biasanya ia akan berakhir dengan pembentukan parti baru. Parti serpihan ini tidak akan mampu mencapai sokongan sebagaimana parti induk. Ada yang memecahkan undi pembangkang dan inilah yang dikehendaki oleh BN.
Sebagai contoh, kemunculan parti Semangat 46 yang berpecah dari Umno, walaupun ia berjaya memenangi beberapa kerusi namun ia tidak dapat menggugat kekuatan parti induk Umno.
Telaahan yang sama juga boleh dibuat pada parti Amanah. Namun, ini berbeza dengan Semangat 46, kerana ia akan menimbulkan saingan sama sendiri di kalangan pembangkang menjelang PRU 14 akan datang.
Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS. Pada waktu ini, tak mungkin PAS juga boleh terima Parti Amanah yang kini sedang menarik ahli PAS dan merampas bangunan PASTI dan markas PAS.
Apabila PAS bergabung dengan PKR sebahagian besar kerusi PAS diserahkan kepada PKR bersama jentera dan petugas parti. Kalau PAS bergabung pula dengan PH bermakna PAS akan sekali lagi serah kerusi kepada parti baru, dan ini tidak mungkin berlaku. Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada Parti Amanah.
PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya kerana itu adalah hak PAS. Kalau komponen parti pembangkang lain khasnya Amanah juga meletakkan calonnya bermakna ia menjadi penyambung tali hayat kepada UMNO / BN.
Mungkin ada yang akan mendakwa kalau calon PAS tak akan menang, kerana pengundi Cina tak akan beri undi, maka apakah kalau Parti Amanah akan menang kalau pengundi Melayu tak akan memberi undi khususnya ahli dan penyokong PAS. Ahli dan penyokong Umno tentulah lagi tak menyokong.
Ramai yang melihat yang bakal untung mungkin DAP. Namun, reaksi senyap rakyat terhadap tindakan terlalu mendesak dan tidak berkompromi yang ditunjukkan oleh pimpinan mereka tidak dapat diagak sebagaimana kesan terhadap sebahagian peti undi DAP di beberapa Parlimen dan DUN yang ditandingi dibantu oleh petugas PAS khasnya jentera pilihanraya sehingga ke PACA (polling agent and Counting Agent).
Tindakan tergesa-gesa membentuk Pakatan Harapan menonjolkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat.
Kepada PKR yang masih menjadi rakan kerjasama PAS, kami harap tidak berlaku perpecahan kerana bibit-bibit tersebut telah kelihatan. Adanya pihak yang ingin menjadi juara bagi mengawal parti pembangkang yang lain serta usaha BN khasnya Umno melihat semua komponen parti pembangkang menjadi lemah.
PAS mendoakan agar PKR tidak mengalami nasib yang sedang dialami oleh PAS. Perpecahan dalaman parti akibat campur tangan pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu akan melemahkan kekuatan suara pembangkang.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
3 Oktober 2015
- SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....