“I feel guilty, I want to see imam, I want to ask sorry (forgiveness). Can you call imam to come here? I feel very guilty”.
“Saya berasa bersalah. Saya mahu berjumpa dengan imam, saya mahu minta ampun. Boleh tak anda panggil imam datang sini. Saya berasa sangat bersalah”.
Demikian kata-kata Shabir Ahmad Khan, 31, lelaki warganegara India yang menampar imam Masjid Negara semasa solat Jumaat di masjid itu dua minggu lalu.
Shabir yang berada di kandang tertuduh di Mahkamah Majistret juga bertindak menepuk pipinya sendiri beberapa kali ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Dia didakwa di atas tiga pertuduhan iaitu mencederakan imam, menganggu solat Jumaat dan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh Pas Lawatan Sosial.
Shabir, yang bekerja sebagai pemandu peribadi, pada mulanya mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan namun pengakuannya tidak diterima oleh majistret setelah dia kelihatan keliru.
Siti Radziah sempat bertanya kepada tertuduh samada dia mengetahui bahawa dia kini berada di mahkamah dan didakwa kerana mencederakan imam, tertuduh kemudiannya mengangguk sambil berkata: “Because I slapped imam.” (kerana saya menampar imam).
Disebabkan tidak berpuas hati dengan pengakuan tertuduh yang kelihatan dalam keadaan keliru, asyik menundukkan kepala dan sering menyatakan kekesalan, Siti Radziah memerintahkan Shabir dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan mental selama sebulan.
Mahkamah menetapkan 30 Oktober untuk sebutan semula kes.
Bagi pertuduhan pertama Shabir didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada imam Masjid Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa dengan sengaja menyebabkan gangguan ketika solat Jumaat mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Masjid Negara, Jalan Perdana, di sini pada pukul 1.30 petang, 18 September lalu.
Shabir juga didakwa tinggal di Malaysia walaupun Pas Lawatan Sosialnya telah tamat tempoh pada 17 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara minimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan ASP Nom Phot Prackdit manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....