KJ : Pindahkan Pegawai SPRM Tidak Adil!!!


“Saya melihat pemindahan pegawai itu sungguh pelik dan sangat mengecewakan. Biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan atau gangguan dari mana-mana pihak,” kata Khairy yang merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Khairy berkata, tindakan memindahkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah tidak adil kerana mereka hanya menjalankan tugas diamanahkan.

Katanya, beliau tidak sanggup membenarkan keadaan seperti itu berlaku kerana institusi seperti SPRM yang mesti dipertahankan untuk menjadi sentiasa bebas dan dapat menjalankan tugas dengan telus.

Khairy berkata demikian ketika mengulas isu dua pegawai kanan SPRM iaitu Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob, yang diarahkan berpindah ke JPM serta-merta berikutan siasatan kes 1MDB.

“Saya harap perkara ini ditangani dengan segera. Malah, saya difahamkan ada seorang pegawai SPRM dipindahkan hanya kerana kesalahan menerima kunjungan wakil rakyat pembangkang ke SPRM,” katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Mesyuarat Majlis Belia Malaysia (MBM), di sini, malam tadi.

Katanya, tindakan seperti ini akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mencetuskan kemarahan rakyat.

“Rakyat akan beranggapan setiap kali SPRM mahu menjalankan tugas, macam-macam berlaku kepada mereka, termasuk pegawainya dipindahkan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Khairy, semua pihak perlu menghentikan serangan, sekatan dan intimidasi terhadap pegawai-pegawai SPRM yang terbabit dengan siasatan kes 1MDB kerana akan mengundang lebih banyak prasangka negatif terhadap kerajaan dan institusi terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....