Gara-gara membantu pelanggan yang tidak mematuhi etika pemakaian, seorang petugas wanita ditukarkan lokasi kerjanya selepas kejadian tersebut disedari pihak atasan.
Menyingkap kejadian 8 Jun lalu, seorang pelanggan wanita diberi kain batik untuk dipakai ketika berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju memuat naik kisahnya di Facebook.
Pelanggan wanita yang dikenali sebagai Suzanne G.L. Tan memuatnaik gambarnya yang memakai kain batik sarung di dalam laman sosial Facebook lantas mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Tazidamiza Ismail, 41, anggota RELA wanita yang bertugas di kaunter hadapan ketika kejadian itu nyata terkejut selepas gambar berkenaan menjadi viral di laman sosial.
Menurutnya, ketika kejadian, wanita tersebut memberikan kerjasama yang baik selepas dimaklumkan pemakaiannya tidak mematuhi etika yang dikeluarkan JPJ.
“Saya menasihatkannya untuk memakai kain batik untuk meneruskan urusannya di JPJ dan dia tidak membantah.
“Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang dan satu jam selepas itu, gambar wanita memakai kain batik menjadi viral dan ianya sungguh memeranjatkan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran Rela di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini.
Tazidamiza berkata, susulan kejadian itu, dia dipanggil pihak atasan JPJ sebelum ditukarkan lokasi bekerja.
Dia yang baru berkhidmat dengan JPJ kira-kira 18 bulan, bagaimana pun akur dengan keputusan itu dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Setiap hari, saya menerima pelanggan yang tidak mematuhi etika pekaian dan ini kali pertama ianya dipersoalkan dan gambar tersebut menjadi viral,” katanya.
Dia yang menyertai RELA empat tahun lalu dan kemudian ditugaskan di kaunter hadapan JPJ Wangsa Maju dan kini berkhidmat di UTC Sentul.
Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Malaysia, Lukeman Saaid berkata, setiap ahlinya hanya mematuhi standard pematuhan operasi (SOP) yang ditetapkan agensi tertentu.
“Setiap petugas perlu laksanakan SOP yang ada.
“Kami memberikan penghargaan kepadanya supaya dapat menaikkan semangat untuk terus bekerja,” katanya.
- SUMBER
- SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....