Badan Perhubungan Umno Perlis mahu perubahan drastik dilaksanakan segera membabitkan beberapa pemimpin kerajaan dan kedudukan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi kepentingan negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tindakan itu sangat perlu dikaji dan dilaksanakan segera berikutan isu kontroversi menarik perhatian rakyat.
"Isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan tidak diberi penjelasan sewajarnya menyebabkan rakyat mempersoalkan kredibiliti kerajaan dan terbaharu timbul pula isu pembelian tanah oleh Tabung Haji.
"Perkara ini tidak boleh dibiar berlarutan. Sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perlis di Kangar, hari ini.
Shahidan berkata, rakyat adalah keutamaan kerajaan, namun apabila orang yang diberi kepercayaan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan efisien, mereka wajar diganti.
"Saya bercadang menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok bagi mengemukakan cadangan Umno Perlis termasuk pencapaian dan keberkesanan pemimpin tertentu dinilai dan kaji semula," katanya.
Shahidan, yang juga menteri di jabatan perdana menteri, berkata selain barisan pemimpin yang perlu ditukar, pendekatan baru bagi menyelesaikan isu kontroversi perlu dilakukan bagi meredakan spekulasi.
"Pemimpin mesti lancar dalam memberi penjelasan terutama soalan-soalan yang dibangkitkan oleh rakyat. Kelemahan menangani perkara ini hanya mengundang lebih banyak khabar angin dan peluang pembangkang menambah masalah kerajaan,"
“Pemimpin yang akan menjawab isu tersebut pula diminta berhati-hati ketika memberi penjelasan kepada rakyat. Janganlah tinggi sangat (sombong) ketika menjawab,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahidan memberitahu, pihaknya akan membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli UMNO berhubung satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini bahawa timbalan-timbalan ketua UMNO bahagian di seluruh negara menerima wang tunai RM500,000 daripada Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....