"Hantu Perosak Belia" : Amy Search Sindir Motivator Terkenal!!!

Ikon rock unggul negara, Amy tidak terkesan dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang juga seorang pakar motivasi, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad apabila menggelarkan kumpulannya, Search sebagai 'hantu' dan perosak belia di negara ini. 

Vokalis kumpulan rock unggul negara, Search, Amy hari ini memberitahu dia tidak memerlukan kemaafan daripada Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang juga seorang pakar motivasi, Muhammad Lukman Al-Hakim Muhammad berhubung kenyataannya yang menggelarkan kumpulan itu sebagai ‘hantu’ yang merosakkan belia negara ini.

Bukan mahu menjadi seorang yang sombong atau takbur, tetapi kata Amy, adalah lebih baik seandainya pakar motivasi itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua belia di negara ini berhubung kenyataan yang dibuatnya itu seandainya dia mempunyai niat untuk berbuat demikian (meminta maaf).

“Saya tidak terkesan dengan segala apa yang dikatakannya itu kerana sebagai seorang anak seni yang berkecimpung dalam dunia hiburan selama 35 tahun, kejian, cacian dan pujian adalah sebahagian daripada hidup saya.

“Sebaliknya, saya hanya berasa tenang tetapi saya lebih kasihankan dia kerana sebagai seorang ketua dan pakar motivasi, kata-kata kurang manis seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seseorang yang mempunyai reputasi sepertinya.

“Disebabkan itu saya mengatakan adalah lebih baik untuknya dia memohon maaf kepada semua belia kepada anggota Search yang lain dan bukannya kepada saya,” jelas Amy dalam nada tenang sewaktu dihubungi The Rakyat Post, di sini sebentar tadi.

Kelmarin, penyanyi berusia 56 tahun itu memuat naik status yang dilakukan oleh pakar motivasi itu di laman Instagram miliknya yang telah mendapat reaksi pelbagai daripada pengikut ikon rock itu.

Dalam statusnya itu, Muhammad Lukman Al-Hakim telah membuat kenyataan dengan besertakan gambar kumpulan rock itu yang berbunyi, “Setelah bertahun-tahun negara sambut Hari Belia Negara, belia-belia kita menjadi semakin teruk kerana hantu-hantu macam ni yang menjadi pengisinya.

Status yang dimuat naik oleh Amy di laman Instagram miliknya berhubung kenyatan yang dikeluarkan oleh Muhammad Lukman Al-Hakim Muhammad yang mendapat respons positif daripada peminatnya yang terus memberikan sokongan. – Foto Instagram Amy (@akuamysearch)


Menyambung bicaranya, pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman ini berkata Muhammad Lukman Al-Hakim sepatutnya membuat penyelidikan yang lebih menyeluruh sebelum menggelarkan kumpulannya sebagai hantu atau dalam erti kata lain perosak belia di negara ini.

Ujarnya, Festival Belia Negara yang dianjurkan saban tahun bukan mengenengahkan hiburan semata-mata sebaliknya pelbagai aktiviti sihat yang berkaitan belia dianjurkan dan ditampilkan yang menampakkan kesungguhan golongan belia di negara ini dalam melakukan sesuatu yang positif.

Jelas pelantun lagu Saat Ku Idamkan dan Isabella ini lagi, kumpulan Search bukanlah sebuah kumpulan yang baru hendak menapak di dalam industri sebaliknya hampir 40 tahun mereka bertahan sekali gus membuktikan mereka memberi inspirasi kepada masyarakat secara amnya.

“Perjalanan seni Search sehingga menghampiri usia 40 tahun penubuhan kami adalah disebabkan belia juga yang sudah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup kami.

“Kalau dia hendak tahu, kebanyakan golongan profesional di negara ini membesar dan menjadikan lagu-lagu kumpulan Search sebagai inspirasi untuk mereka berjaya dengan apa yang mereka lakukan hari ini.

“Jadi, apakah buktinya kumpulan Search ini berhak untuk dikatakan sebagai ‘hantu’ dan perosak belia di negara ini? Seharusnya sebagai pakar motivasi, dia perlu menyebarkan aura positif kepada belia dan bukannya memberikan kenyataan negatif seperti itu,” kata bekas pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali itu lagi.

Sebagai anak seni yang sudah 35 tahun menjadi salah seorang living legends di negara ini, Amy sudah tidak lagi terkesan dengan kata-kata negatif masyarakat selagi tidak menyentuh hal keluarganya – Foto TRP/Syahirah Roslan

Dalam hal itu, Amy memberikan contoh pengalamannya sewaktu bertemu dengan seorang pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah di pasar malam yang benar-benar menyentuh hatinya dan membuatkan Amy mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada beliau.

Kata Amy, walaupun dia seorang penyanyi, namun, dia memiliki perasaan rendah diri apabila bertemu dengan seorang yang dihormati seperti Dr. Fadzilah Kamsah yang sedikit pun tidak memandang rendah kepadanya.

“Namun, perkara sebaliknya pula yang berlaku apabila dia menyatakan saya seorang yang hebat lalu dia memeluk saya dan membuatkan saya benar-benar terharu. Jadi, kita sendiri ada rasa keyakinan diri apabila diperlakukan sebegitu dan kami saling hormat-menghormati.

“Justeru, apabila ada anak muda yang merupakan seorang pakar motivasi membuat kenyataan seperti itu, reputasi siapa yang tercemar sebenarnya?,” soalnya mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....