Memang betul, malang itu tidak berbau, namun bagi sesetengah kes, kecelakaan atau kemalangan itu sebenarnya boleh dielakkan. Dalam erti kata lain, ia berlaku akibat kesilapan atau kecuaian manusia itu sendiri.
PARIS: Salah seorang juruterbang pesawat malang Germanwings yang terhempas di Alps Perancis pada Isnin dilaporkan terkunci di luar kokpit sejurus sebelum nahas.
Portal The New York Times pada Rabu mengeluarkan kenyataan tersebut berdasarkan bukti yang didakwa daripada perakam suara kokpit (CVR).
"Lelaki di luar kokpit itu mengetuk perlahan di pintu namun tiada jawapan," seorang pegawai penyiasat yang tidak mahu dinamakan memberitahu Times.
"Dia kemudian mengetuk pintu dengan lebih kuat tetapi masih tiada jawapan. Langsung tiada jawapan. "
"Boleh dengar bunyi dia sedang berusaha keras membuka pintu kokpit itu," kata penyiasat tersebut.
"Ia berlarutan dan anda boleh mendengar juruterbang itu cuba memecahkan pintu kokpit, namun pintu tetap tidak dapat dibuka," katanya.
Pengarah Agensi Siasatan Penerbangan Perancis, Remi Jouty berkata, walaupun terdapat suara dan bunyi di kokpit, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.
Data yang diambil daripada perakam suara pesawat Germanwings itu tidak dapat memberikan apa-apa petunjuk yang kukuh.
Dalam perkembangan lain, pesawat tambang murah Jerman, Germanwings 4U 9525 yang terhempas di Banjaran Alps, dilaporkan ditunda operasinya selama 24 jam sebelum kejadian itu berlaku. Portal berita Daily Mail melaporkan, laporan Jerman mencadangkan operasi pesawat tersebut ditunda 24 jam sebelum berlepas dari Barcelona ke Duesseldorf kerana mengalami masalah teknikal termasuk gear pendaratan.
Pendedahan itu memberi tekanan kepada pemilik Germanwings untuk menerangkan mengapa pesawat Airbus 320 tersebut dibenarkan beroperasi. Pemeriksaan keselamatan kini dilaksanakan terhadap pesawat Airbus 320 lain milik syarikat tambang murah tersebut.
Pakar berkata, kadar penurunan altitud pesawat 4U 9525 itu tidak berlaku secara mengejut, mencetuskan spekulasi bahawa juruterbang mungkin pengsan ketika pihak berkuasa menolak kemungkinan kejadian berlaku akibat keganasan. Lima tahun lalu, dua juruterbang yang menerbangkan pesawat Germanwings hampir pengsan ketika mendarat di Cologne.
Kejadian di Banjaran Alps itu merupakan kes ketiga melibatkan pesawat Airbus dalam tempoh enam bulan dengan dua daripada kemalangan itu menyaksikan lebih 300 orang terbunuh. Dalam pada itu, beratus-ratus orang terkandas di Lapangan Terbang Heathrow, Stansted dan Manchester selepas anak-anak kapal Germanwings termasuk juruterbang enggan bekerja ekoran kejadian itu semalam.
Pesawat Airbus 320 Germanwings milik syarikat penerbangan Jerman Lufthansa itu terhempas di kawasan pergunungan Alps Perancis pada Isnin dan meragut nyawa kesemua 150 penumpang dan anak kapal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....