Tawau – Masyarakat media sosial gempar dengan penyebaran video pendek yang memaparkan insiden tembak-menembak yang dikatakan berlaku di Tawau.
Rakaman berdurasi 1:03 minit itu memaparkan beberapa orang anggota keselamatan yang berpakaian preman dilihat berkeliaran dengan membawa sejata.
Mereka yang pada mulanya terkejut kerana bimbang berlaku insiden yang tidak diinggini, akhirnya mampu menarik nafas lega apabila dimaklumkan ia hanya sekadar latihan yang melibatkan semua agensi keselamatan.
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah akan menjalankan Latihan Amal Pasak II selama dua hari di sekitar bandar Tawau bermula 27 Feb ini.
Sehubungan itu, Komander ESSCom Datuk Abd Rashid Harun menasihati penduduk setempat supaya tidak panik dan gusar jika melihat pergerakan pasukan keselamatan ke daerah itu atau mendengar bunyi letupan serta tembakan.
Katanya latihan berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan amal pihak keselamatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Semasa latihan amal ini, terdapat pergerakan pasukan keselamatan dan aset-aset darat, laut dan udara yang mungkin menimbulkan kegusaran penduduk di sekitar bandar Tawau.
“Jika terdapat sebarang kemusykilan, mereka boleh menghubungi pusat operasi ESSCom atau Ibu pejabat polis Tawau di talian 089-772121,” katanya dalam kenyataan semalam.
Abd Rashid berharap latihan amal itu dapat memantapkan lagi keberkesanan pengoperasian ESSCom dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Sebelum ini, ESSCom melaksanakan latihan sama di Sandakan yang bertujuan antara lain meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan ESSCom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....