Akan dikemaskini dari masa ke semasa :
Keputusan rayuan terakhir bagi perbicaraan kes Liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung hari ini.
Anwar berdepan tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan hari ini menjadi hari penentu keputusannya tentang rayuan terakhir untuk Anwar mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya bagi pertuduhan itu.
Seluruh dunia berdebar-debar sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melangkah keluar sebagai manusia bebas atau kembali merengkok dalam penjara. Keputusan hari ini amat dinanti-nantikan kerana bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik Malaysia.
Ikuti perkembangan terkini keputusan rayuan secara langsung dari Istana Kehakiman, Putrajaya:
LANGSUNG:
3.17pm: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Tan Kar Hing ditahan di belakang Istana Kehakiman ketika polis cuba membawa Anwar beredar daripada bangunan itu.
3.10pm Wan Azizah keluar daripada Istana Kehakiman menuju ke keretanya. Pihak media diminta ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya untuk perkembangan lanjut.
3.05pm: Berlaku tolak menolak antara polis dan penyokong Anwar yang enggan bersurai.
2.45pm: Saiful Bukhari Azlan menulis di blog bahawa keputusan hari ini membuktikan bahawa beliau saksi berwibawa.
2.43pm: FRU mengeluarkan amaran kedua tetapi orang ramai masih enggan beredar.
2.30pm: Polis mengiring keluar Anwar dari bilik mahkamah tetapi pergerakannya tersekat-sekat akibat kumpulan penyokong yang berebut-rebut memeluk beliau sebelum dibawa ke penjara.
Anwar mohon beliau ditahan di penjara Sungai Buloh, tempat beliau dipenjarakan selama lima tahun sebelum dibebaskan pada penghujung 2004.
2.10pm: Suasana tegang menyelubungi perkarangan Istana Kehakiman. Penyokong Anwar melaungkan slogan-slogan mengecam keputusan itu.
Loceng pasukan pencegah rusuhan dibunyikan dan anggota pasukan itu dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.Sementara itu, Anwar masih berada di mahkamah bersama peguam utamanya Gopal Sri Ram.
2pm: Hakim beredar daripada mahkamah. Laungan "reformasi" dan "Allahuakhbar" gamatkan dewan mahkamah. Anwar memeluk penyokongnya.
1.57pm: Hakim berkata mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima tahun seperti dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
1.38pm: Lima hakim yang mendengar rayuan itu meninggalkan tempat duduk mereka sewaktu Anwar membangkitkan konspirasi politik, termasuk mendakwa mereka "tunduk pada tuan politik" mereka.
"Yang arif boleh mengharumkan nama (dalam keputusan ini). Tetapi yang arif tetap memilih menyebelahi kegelapan," tambahnya, mendorong hakim mendesaknya agar berhenti.
Apabila Anwar enggan, semua hakim itu meninggalkan tempat duduk mereka.
1.35pm Pasukan antirusuhan FRU bersedia di kawasan perkarangan Istana Kehakiman. Ia melibatkan dua kenderaan meriam air dan dua buah trak pasukan itu.
Di dalam mahkamah, Anwar mengemukakan hujahnya sekarang. Tokoh PKR itu berkata beliau menerima keputusan ini dengan tenang.
Bagaimanapun beliau juga berkata beliau tetap tidak bersalah dan kes ini suatu konspirasi politik bagi menyekat cita-citanya sebagai perdana menteri.
1.34pm: Shafee mahu Anwar dikenakan hukuman sekurang-kurangnya enam tahun.
1.28pm: Shafee berkata kesalahan itu serius dan tidak menolak sumbangan Anwar terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, lebih besar seseorang itu, “lebih besar juga jenayahnya”.
1.18pm: Kira-kira 1,000 penyokong Anwar berkumpul di pintu belakang kompleks mahkamah, sambil melaungkan slogan popular pembangkang “Reformasi” dan “Hidup Anwar”.
1.17pm: Gopal berkata tiada sebab yang baik untuk menambah hukuman berdasarkan fakta kes.
1.12pm: Peguam utama Anwar, Sri Ram menyentuh soal hukuman.
Katanya, mahkamah patut mengambil kira sumbangan Anwar kepada demokrasi Malaysia, termasuk ketika dia bersama kerajaan sebelum ini, sebelum membuat keputusan.
1.08pm: Mahkamah bersambung semula.
12.45pm: Anwar memberitahu cucunya supaya rajin-rajin belajar manakala isterinya Wan Azizah berkata anggota keluarga mereka kekal tabah.
12.20pm: Kerajaan Malaysia menyifatkan keputusan mahkamah dibuat selepas mengambil kira semua bukti dengan seimbang dan objektif.
Kerajaan turut menegaskan laporan polis terhadap Anwar dibuat oleh Saiful dan tidak ada kena-mengena dengan pihak kerajaan.
"Sebagai mangsa terhadap keganasan seksual, dia mempunyai hak supaya kesnya dibicarakan di mahkamah," kenyataan itu dipetik.
Kerajaan juga menyeru semua pihak yang terlibat untuk menghormati proses undang-undang dan keputusan hakim.
12.10pm: Peguam Sri Ram, yang mewakili Anwar, bangun minta penangguhan selama sejam untuk mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya.
Mahkamah ditangguh sementara menunggu hukuman.
12.07pm: Hakim berkata terdapat bukti kukuh bahawa Saiful diliwat. Rayuan terhadap sabitan itu ditolak.
11.55am: Hakim berkata Anwar tidak mempertikaikan bahawa beliau berada di kondominium tempat kejadian didakwa berlaku dan dia juga tidak mempertikaikan keberadaan Saiful di situ.
Hakim juga berkata "tiada merit" bagi dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes itu.
“Penafian semata-mata daripada Anwar tidak boleh diterima. (Dakwaan) konspirasi politik kekal tidak berasas,” katanya.
11.52am: Hakim sentuh dakwaan bahawa Saiful bertemu Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri, dan pegawai khasnya Khairul Anas.
11.50am: Hakim sentuh tentang saksi pembelaan lain.
Ini termasuk keterangan bekas pembantu Anwar yang lain, Najwan Halimi, yang terkejut mendapati Saiful, seorang penyokong BN, berkhidmat untuk ketua pembangkang.
11.45am: Ketika penghakiman dibacakan, di ruang maya ramai mula berspekulasi bahawa Anwar mungkin bersalah.
“Menuju ke arah pensabitan kes,” tulis ketua biro undang-undang PKR Latheefa Koya di Twitter.
11.43am: Hakim menyentuh soal alibi Anwar.
“Anwar mendakwa sampel itu diganggu dan menyalahkan media kerana membuat kenyataan prejudis.
“Dia juga mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Saiful seorang saksi boleh dipercayai,” katanya.
Hakim ulang dakwaan konspirasi yang dibuat Anwar.
11.40am: Hakim berkata tiada ruang boleh berlaku kesalahan (inferiorly fallible) dalam keterangan ahli kimia.
11.31am: Lebih sejam Hakim Arifin membacakan penghakiman kes liwat Anwar. Seorang anak Anwar kelihatan menitiskan air mata.
11.27am: Anwar memandang kepada isterinya, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. Dua anggota polis berdiri kiri dan kanan kandang tertuduh tempat Anwar duduk.
11.25am: Hakim memutuskan bahawa tiada gangguan pada penjagaan sampel dan berkata pegawai penyiasat Jude Periera berhati-hati mengendalikannya.
Oleh itu beliau memutuskan sampel tidak tercemar.
11.05am: Bagi bahan bukti yang diperolehi dari lokap, ketua hakim menyimpulkan Anwar memang menggunakan barang-barang tersebut kerana sel itu sebelumnya kosong.
11am: Hakim berkata dalam Akta Keterangan, pentahkikan tidak diperlukan. (Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa keterangan ahli kimia tidak mentahkikkan keterangan Saiful). Hakim berkata keterangan pengadu boleh dipercayai tanpa pentahkikan.
10.50am: Hakim Arifin membangkitkan keterangan mengenai pakaian berjenama Brioni. Bagi permaidani yang dirampas, beliau berkata ia bukanlah bukti yang sangat penting.
10.46am: Berkaitan keterangan terperinci Saiful, hakim berkata pengadu berpegang teguh kepada keterangannya walaupun selepas disoal balas mendalam. Ekoran itu, kata hakim, Mahkamah Rayuan memutuskan keterangannya diterima.
10.39am: Hakim kini membacakan testimoni saksi pembelaan Prof David Wells dan Prof Brian Mcdonalds. Hakim berkata pakar bedah tulang belakang Dr Thomas Hoogland berpendapat bahawa Anwar tidak dapat melakukan aksi seks sebegitu kerana masalah belakang.
10.37am: Hakim berkata bahawa Anwar memberikan kenyataan daripada kandang tertuduh yang mendakwa terdapat konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mempersoal tindakan Saiful.
10.37am: Hakim berkata bahawa Anwar memberikan kenyataan daripada kandang tertuduh yang mendakwa terdapat konspirasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mempersoal tindakan Saiful.
10.33am: Hakim berkata Anwar ditahan dan dibekalkan dengan tuala, berus gigi dan sebotol air mineral.
Barang itu diambil oleh polis pada hari berikutnya dan sampel daripadanya diserah kepada ibu pejabat polis Kuala Lumpur.
10.27am: Selepas membacakan bagaimana Saiful dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, di mana sampel diambil.
Hakim Arifin berkata ahli kimia menemui sel sperma daripada calitan dubur bahagian tinggi dan rendah.
Beliau juga berkata dapatan awal bahawa tiada tanda-tanda tembusan.
10.24am: Keadaan di luar Istana Kehakiman ketika ini terkawal. Penyokong Anwar rata-rata duduk di kaki lima dan turut mendengar ceramah yang disampaikan oleh beberapa pemimpin PKR.
Pentas ceramah itu dibuat di atas kereta pacuan 4 roda Hilux yang dibawa ke perkarangan mahkamah.
Selain itu, penyokong juga diberi makanan percuma seperti buah oren dan karipap serta air minuman.
Terdapat juga peniaga yang tidak melepaskan peluang menjual baju T kepada orang ramai.
Sementara itu, seorang orang kelainan upaya (OKU) Md Arof Majid, yang hadir ditemani isterinya berkata, beliau berharap supaya Anwar dibebaskan.
"Saya harap Anwar dibebaskan. Kerana dia membantu rakyat," katanya.
10.20am: Hakim Arifin menceritakan kembali bagaimana Saiful tiba di kondominium, cara pelincir digunakan dan duburnya ditembusi.
Hakim berkata Saiful meletakkan jawatan selepas itu dan ditemani bapa saudaranya ke Hospital Pusrawi.
10.17am: Hakim Ariffin berkata, persetujuan tidak semestinya perlu untuk mensabitkan kesalahan.
Ariffin berkata Saiful berkhidmat sebagai sukarelawan dan pembantu peribadi kepada Anwar.
Saiful juga membantu Ibrahim Yaacob, ketua kakitangan pejabat Anwar, untuk menyusun jadual Anwar.
10.12am: Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mula membacakan penghakimannya.
10.08am: Mahkamah mula bersidang seperti diumumkan pendaftar.
9.56am: Seorang penyokong Saiful, yang mahu dikenali sebagai Syafiq pula berkata, kehadirannya pada hari ini sekadar "ikut orang".
Selain itu, Syafiq juga berkata, dia juga tidak tahu tujuannya hadir ke Istana Kehakiman pada hari ini.
Katanya lagi, dia bersama rakan-rakannya yang lain datang dari Puchong dengan menaiki motosikal.
"Saya ikut orang saja. Tak tahu sebab apa. Kami naik motor ramai-ramai," katanya.
Ketika ditanya sama ada dibayar, dia hanya ketawa dan berkata: "Adalah sikit. Duit minyak."
9.15am: Sekumpulan penyokong Anwar selesai mengadakan solat hajat dan berdoa di luar mahkamah.
Kini kira-kira 1,000 penyokong kini berkumpul sekitar kawasan itu.
9.02am: Anwar sudah tiba di mahkamah.
8.57am: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah masuk ke mahkamah dengan pasukannya. Seluruh dunia berdebar-debar sama ada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melangkah keluar sebagai manusia bebas atau kembali merengkok dalam penjara.
Keputusan hari ini amat dinanti-nantikan kerana bakal memberi kesan besar kepada perjalanan politik Malaysia.
Sekitar perkarangan Mahkamah Putrajaya :
Sekitar perkarangan Mahkamah Putrajaya :
Untuk laporan lain, sila klik pautan ini.
Laporan oleh Hafiz Yatim, Kow Gah Chie, Ram Anand, Zulaikha Zulkifli dan Yap Jia Hee dan kumpulan wartawan KiniTV.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....