Audio berdurasi 2.10 minit itu memuatkan suara yang dikatakan milik Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu, memberi taklimat kepada rakannya untuk membuat serangan balas terhadap serangan ke atasnya.
Dalam transkrip audio rakaman suara itu, beliau dikatakan berkata bertemu dengan pimpinan PAS peringkat kawasan bagi membuat penjelasan.
“Secara umumnya presiden dianggap ulama hebat dan maksum perlu di’deny’ (nafikan),” kata suara rakaman yang mirip suara Mat Sabu itu.
Suara itu seterusnya meminta penjelasan dibuat ke peringkat bawah, ”Bukan dalam bentuk ceramah, bukan dalam bentuk blog, dalam bentuk menemui yang dipanggil pimpinan yang kemungkinan menjadi perwakilan.”
Kumpulan penyokong ulama dan presiden PAS hari ini mendedahkan satu rakaman audio yang didakwa sebagai taklimat dibuat Mohamad Sabu untuk menjelaskan kembali serangan ke atasnya.
Laman Facebook Tuc Tok Usin Ceroi menamakan audio itu sebagai bukti rakaman Timbalan Presiden PAS itu sedang memberikan taklimat untuk kerja memburukkan dan menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ini serangan kedua selepas Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli menjadi sasaran pendedahan perbincangan dalam aplikasi Whatsapp yang mendedahkan kononnya beliau dalang dalam usaha menjatuhkan Hadi, tetapi ahli Parlimen Kuala Krai itu menafikannya dan mendesak siasatan dibuat.
Laman Facebook Tuc Tok Usin Ceroi kini menjadi akaun popular kumpulan pro ulama selepas laman El-Haraki.
Transkrip rakaman itu turut menyatakan, ”Mereka tidak boleh menerima bila saya kata itu adalah pendapat peribadi. Saya kata ialah, bila Syura keluar dari pandangan mesyuarat, itu pandangan peribadi. Keputusan mesyuarat itu adalah keputusan jemaah.”
Menurut laman Facebook itu, audio yang mereka sebarkan adalah bahagian pertama daripada lebih banyak pendedahan yang mereka lakukan.
Sebelum ini, laman Facebook tersebut membuat pengumuman beberapa kali untuk mendedahkan apa yang dikatakan sebagai bukti selepas demonstrasi mendakwa Dr Hatta dibuat di hadapan Pejabat Agung PAS.
Dalam demonstrasi pimpinan Ketua Pemuda PAS Kuantan Fadhil Ahmad yang turut disertai bapa saudaranya yang juga ketua dewan ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik, Dr Hatta didakwa menjadi dalang mahu menjatuhkan Hadi.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berjanji akan menyiasat demonstrasi dan juga kandungan memorandum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....