Sepanjang minggu lalu, banyak laman sosial mendedahkan kisah kehidupan mewah remaja Tehran yang mendakwa diri mereka sebagai ‘Rich Kids Of Tehran’ (Remaja Paling Kaya di Tehran).
Susulan sehari selepas itu, remaja negara ini juga tidak melepaskan peluang untuk menyatakan kepada dunia bahawa mereka juga adalah golongan elit sehingga mewujudkan satu laman sosial akaun Instagram dikenali ‘The Rich Kids Of Malaysia‘.
Apa yang menarik perhatian, akaun itu telah mengumpul sejumlah lebih seribu pengikut dan mula mendapat perhatian ramai yang memberi peluang untuk pencalonan dan foto individu yang disifatkan sebagai kelas atasan akan disiarkan atau dimuat naik di Media Sosial tersebut.
Laman Instagram ‘The Rich Kids Of Malaysia’ yang meriah dengan ‘tayangan’ barangan mewah anak-anak golongan hartawan negara membuktikan rendahnya tahap keyakinan kumpulan berkenaan kepada masyarakat sekeliling.
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan berkata, situasi itu sekali gus menunjukkan keadaan tidak normal pemilik laman berkenaan dengan dunia realiti.
“Mereka saling berlawan dan menunjukkan harga keluarga masing-masing. Ayah dia belikan dia Ferrari, selepas itu tanya ayah kawan dia belikan dia kereta apa pula. Ini kumpulan rendah keyakinan diri, tidak menghargai diri sendiri dan cuba mencari perhatian dengan cara yang tidak sesuai,” katanya.
Dr Abdul Jalil mengulas isu laman Instagram ‘The Rich Kids Of Malaysia’ yang sehingga kini mengumpul lebih 12,000 pengikut dengan 147 gambar pengguna Instagram lain yang menunjukkan ‘harta’ masing-masing untuk tontonan umum.
Sebelum ini, laman Instagram seumpama itu turut dikenalpasti adalah daripada Iran yang menggunakan akaun ‘The Rich Kids of Tehran’ namun tinjauan pada Ahad mendapati akaun itu sudah digodam.
Bagaimanapun, turut difahamkan gambar-gambar tersebut kemungkinannya diambil tanpa kebenaran oleh pemilik laman Instagram anak-anak golongan berada berkenaan.
Ujar Dr Abdul Jalil lagi, sikap yang ditunjukkan pemilik akaun berkenaan juga bakal menjadi ikutan lebih ramai golongan ramaja yang mempunyai ‘masalah’ sama.
Kenyataan JAKIM
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan ada mengeluarkan kenyataan media bagi mengharamkan satu akaun Instagram atas nama 'The Rich Kids of Malaysia'.Pegawai Perhubungan Awam Jakim, Aisha AlKharib Shah berkata pihaknya tiada kena mengena dengan kenyataan yang tersebar di media sosial itu.
Kenyataan palsu bertajuk 'Status Akaun Instagram The Rich Kids of Malaysia' bertarikh 6 Feb itu dikeluarkan atas nama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.
"Kita menafikan sama sekali kenyataan itu dikeluarkan Jakim," kata Aisha.
Antara lain, kenyataan palsu itu menyebut Jakim mengambil keputusan mengharamkan akaun berkenaan kerana beberapa faktor antaranya gambar-gambar yang dimuat naik menonjolkan sifat riak yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....