KRISIS!!! Perumahan Generasi Muda Perlu Diberi Perhatian!!!



Generasi muda masa kini bakal berhadapan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri dan mereka mungkin terpaksa menyewa sehingga ke akhir hayat gara-gara harga rumah di negara ini semakin meningkat.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Amir Baharuddin berkata, sepanjang tahun lalu harga rumah di Malaysia dilaporkan telah naik kira-kira 30 peratus berbanding tahun sebelumnya dan ia naik lagi pada suku pertama tahun ini.


“Kenaikan suku pertama tahun ini tidak begitu drastik seperti tahun lalu tetapi hakikatnya kenaikan harga masih berlaku. Nampak gayanya, sampai mati golongan muda terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Setiap rakyat Malaysia memerlukan gaji atau pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan untuk melayakkan mereka membuat pinjaman membeli rumah yang kini berharga lebih RM350,000 seunit dan kita kena faham mereka perlu juga menanggung perbelanjaan lain seperti kereta dan makan minum”.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa mendesak kerajaan agar memberi tumpuan terhadap isu perumahan yang dihadapi golongan muda di bandar di bahagian itu.

Ketuanya, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata ini kerana di samping berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi, mereka juga tidak mampu memiliki rumah sendiri ekoran harganya yang terlalu mahal.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO Titiwangsa akan terus menjadikan isu perumahan yang merupakan masalah ruji anak muda hari ini sebagai perjuangan utama.

“Kami juga merasakan pembangunan di Kampung Baru yang bakal diusahakan oleh UDA Holding untuk membina perumahan bernilai lebih RM400,000 seunit dikaji semula kerana tidak mencerminkan usaha kerajaan dan parti kepada golongan muda berpendapatan rendah.

Pemuda UMNO Titiwangsa bukan berhasrat untuk menentang kemajuan dan dilabel anti pembangunan tetapi biarlah apa juga bentuk pembangunan yang direncanakan di Titiwangsa dapat kita sama-sama dinikmati.

Kita tidak mahu hanya menjadi penonton pembangunan di depan mata kerana lama-kelamaan kita akan terpinggir dengan sendirinya seperti mana kata bidalan: kera di hutan disusukan anak di rumah mati tak makan,” ujarnya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa di sini, Ahad.

Tambahnya, Pemuda UMNO Titiwangsa juga memohon agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi generasi muda.

Malah Pemuda UMNO Titiwangsa juga menyarankan agar agensi-agensi yang diberi projek membina perumahan agar melihat kemampuan kewangan kepada masyarakat tempatan terlebih dahulu kerana kebanyakannya masih tidak memiliki rumah sendiri.

“Biarlah keutamaan pemilikan rumah-rumah mampu milik ini diberikan untuk warga Titiwangsa dahulu khususnya golongan muda yang berpendapatan rendah. Ini kerana sokongan golongan muda dalam memberi kemenangan kepada Barisan Nasional memimpin negara dan Titiwangsa adalah amat diperlukan.

Pada masa yang sama, kami juga mahu golongan muda di bahagian ini bijak mengambil peluang daripada peluang-peluang perniagaan yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing,” ujarnya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Hari ini, dunia telah jauh berubah, kita tidak boleh hanya sekadar menunggu peluang terhidang, menunggu tangan menyuap nasi ke mulut kita, biarlah kita mempunyai pancing untuk kita boleh mengail mencari rezeki. Suka atau tidak kita perlu mengharunginya.

“Saya bersama barisan kepimpinan Pemuda Titiwangsa akan terus berusaha membantu sebaikdaya dengan apa yang termampu, memberi khidmat terbaik demi kesejahteraan kita bersama.

Harapan kami Pemuda Umno Titiwangsa biarlah pembangunan yang dibawa mendahulukan masyarakat tempatan bagi memastikan sokongan mereka untuk terus bersama Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

1 ulasan:

  1. Kat negeri2 tertentu.. pemaju da berpakat dgn harga dan bagi2 kawasan masing2.. kerajaan negeri pula menghalalkan je..

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....