Pimpinan PKR dijangka membincangkan satu lagi nama calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada malam Selasa selepas pihak Istana Selangor difahamkan menolak pemohonan mengadap oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada pagi hari yang sama untuk membincangkan isu berkenaan.
Ia juga disifatkan perjumpaan susulan PKR Selangor selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu pada Isnin.
Menurut sumber dalaman PKR, mesyuarat Biro Politik Pusat PKR itu akan melihat kembali keputusan pencalonan Wan Azizah selain penolakan PAS sendiri yang tidak mahu isteri Anwar menjadi menteri besar.
"Hadi yang telah menyampaikan persetujuan PAS untuk menurunkan Abdul Khalid juga meminta nama lain selain Wan Azizah.
"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Selangor juga sudah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.
Menurut satu laporan memberitahu, Istana Selangor menolak permohonan PKR mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan isu pemecatan Abdul Khalid dari parti.
Sumber itu turut memaklumkan, difahamkan Anwar sendiri menulis surat permohonan mengadap bagi pihak Wan Azizah yang menjadi calon untuk menggantikan Abdul Khalid.
Bagaimanapun, penolakan surat itu dilihat kerana tindakan tidak wajar PKR dalam proses bertemu pihak istana sendiri.
Dalam pada itu sumber memaklumkan, ADUN Selangor yang dipanggil malam ini akan diminta memberi nama lain untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
"Semua diminta beri nama lain, boleh calonkan sesiapa yang dirasakan wajar namun akan diputuskan kembali dalam mesyuarat Biro Politik malam ini," ujarnya
Pada Isnin, Sultan Selangor memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai Menteri Besar Selangor.
Abdul Khalid dalam satu kenyataan pada hari yang sama pula menjelaskan, sehingga ada perkembangan baharu, dia kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Sebelum ini, Sultan Selangor pernah menolak permohonan mengadap Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya mengenai penghapusan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim menegaskan pemimpin DAP Selangor diminta mematuhi arahan parti bagi mengelak dipecat.
Sehubungan itu, beliau hanya akan meneruskan tugas sebagai exco atau meletak jawatan mengikut arahan DAP.
Namun, Chang Khim berkata, ketika ini beliau akan menjalankan tugasnya sebagai exco seperti biasa kerana masih belum menerima arahan sedemikian daripada parti sehingga sekarang.
"Saya masih dibayar gaji sebagai exco, jadi mestilah kerja. Setakat ini tiada arahan untuk letak jawatan.
"Kalau parti suruh kerja, saya kerja. Kalau ada arahan kata letak jawatan, (maka) letak jawatan la.
"Arahan setakat ini teruskan kerja. Mesti ikut arahan parti, kalau tidak kena pecat," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Bangunan SUK di sini, Selasa.
Chang Khim turut mengesahkan beliau tidak mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa.
"Sejak dari pukul 9 pagi tadi saya masih belum sempat tengok telefon dan tiada berita atau pesanan dari setiausaha saya bahawa ada pertemuan (dengan MB)," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang itu berkata, kehadirannya ke Bangunan SUK adalah bagi mempengerusikan mesyuarat biasa berhubung portfolionya.
Sementara itu, seorang exco dari PKR, Elizabeth Wong yang meninggalkan bangunan SUK kira-kira pukul 1 tengah hari enggan memberikan sebarang komen.
Malah, beliau terus beredar dan memasuki keretanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....