BUNUH DAN ROMPAK AMBANK : La Ode Beri Keterangan "PELIK"!!!



Bekas pengawal keselamatan AmBank Subang Jaya, La Ode Ardi Rasila yang didakwa membunuh pegawai bank, Norazita Abu Talib, tahun lalu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dia tidak berniat untuk membunuh wanita itu sebaliknya hanya mahu merompak.

Namun, katanya, pada hari kejadian senjata api jenis pump gun di tangannya meletup secara tiba-tiba setelah dia menarik pamnya.


Menurutnya, dia cuba mengepam senjata api berkenaan agar bunyi yang dikeluarkannya dapat menarik perhatian mangsa dan seorang lagi kakitangan bank, Arzanna Abdullah untuk memandang ke arahnya.




"Ketika itu mereka (Norazita dan Arzanna) sedang menyusun wang dengan membelakangkan saya, saya tarik pam supaya keluar bunyi agar mereka nampak saya," katanya.

Semasa memberi keterangan itu, La Ode lantas berdiri dalam kandang saksi dan menunjukkan menggunakan tangan cara dia menarik pam senjata api itu dan jarak dia dengan mangsa.

La Ode, 37, berkata demikian bagi menjawab soalan peguamnya, S. Selvi ketika membela diri atas tuduhan membunuh Norazita, 37, di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Pertuduhan terhadap lelaki yang merupakan saksi tunggal pihak pembelaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Dia turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dengan niat menyebabkan kematian kepada pegawai AmBank itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang turut membawa hukuman mati.

Terdahulu, La Ode berkata, dia dan Norazita telah bersarapan bersama-sama sambil berbual malah mangsa turut menunjukkan kepadanya laporan akhbar mengenai kejadian pembunuhan di Kelana Jaya.

"Dia kata kepada saya, Ardi awak tengok, ini betul-betul jahat dia bunuh kekasih masuk dalam beg kemudian buang dalam longkang," katanya.

La Ode berkata, dia tidak tahu sebab senjata api itu meletup namun selepas tembakan berkenaan dia telah menarik Arzanna yang ketika itu terjatuh dan membawanya ke bahagian hadapan dekat mesin fotostat.

"Saya kemudian masuk ke dalam dan mengambil wang menggunakan beg dan plastik sampah yang saya telah siapkan untuk tujuan merompak," katanya.

Dia mengakui berasa takut dengan kejadian itu malah sebelum kejadian iaitu pada sebelah tengah hari dia berasa gugup dan tidak tenang serta berbelah bahagi untuk melakukan rompakan itu.

"Saya rasa panik kerana kereta untuk membawa saya melarikan diri ke Johor yang sepatutnya tiba pukul 5 petang tiba lebih awal iaitu pukul 1 tengah hari dan rakan saya, Joemar berkali-kali menghubungi saya memberitahu tentang kereta itu," katanya.

Selepas mengambil wang itu, La Ode memberitahu, dia telah keluar dan melihat kakitangan bank termasuk 'Kak Laila' berada di pintu hadapan dan wanita itu telah bertanya kepadanya 'kenapa buat macam tu'.

"Saya hanya cakap saya tidak tahu macam mana senapang itu boleh meletup," katanya.

Dia kemudian keluar dari bank lantas mendapatkan Joemar, yang telah menunggunya dengan motosikal untuk pergi ke tempat kerja rakannya yang dikenali sebagai 'Lapolo' di Subang.

Sebelum itu, dia turut memberitahu, seminggu sebelum kejadian Joemar mencadangkan dia merompak bank setelah mengetahui dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di bank dan selalu melihat wang yang banyak.

Walaupun dia telah berkata itu 'kerja gila' kepada Joemar namun dia bersetuju setelah rakannya itu meyakinkan dia cara melarikan diri ke Johor menggunakan tekong yang akan mengambil mereka di Subang.

Menurutnya, semua urusan untuk melarikan diri telah dibuat oleh Joemar, malah rakannya itu juga menyuruh dia melakukan rompakan itu sehari sebelum kejadian sebaik sahaja mengetahui dia ditugaskan di Ambank.

Setelah memberi keterangan hampir dua jam, Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menetapkan 14 Ogos ini keputusan sama ada bersalah atau tidak terhadap pertuduhan yang dihadapi lelaki itu.

2 ulasan:

  1. semua dakwaan mengarut itu boleh dibuktikan kekarutannya kerana bahan bukti masih ada.

    BalasPadam
  2. binatang indon ni jangan bagi muka gantung dia saja bagi mampos @ pun rejam batu kat menatang ni dan cakap tak tahu tiba2 batu tu terbang terus ke kepala menatang ni senang

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....