MILITAN BUKAN JIHAD : PAS Pecat Lagi 3 Ahlinya!!!



PAS memutuskan memecat tiga lagi ahlinya yang dikaitkan dengan kumpulan jihad seperti yang didedah media sebelum ini.

Mereka adalah Dr Mahmud Ahmad, 36, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39, dan seorang lagi Mohd Najib Husen, 36.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan memecat ketiga-tiga mereka dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam.

"Oleh kerana kenyataan Presiden (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) sebelum ini menyatakan sesiapa yang terlibat dengan gerakan selain gerakan aman "muajahah silmiyah" ini, kita akan pecat mereka ini.

"Oleh itu jawatankuasa PAS Pusat semalam membuat keputusan, ketiga-tiga mereka dipecat daripada PAS," katanya dalam satu temu bual khas dengan Harakahdaily hari ini.

Mustafa memberitahu, sebelum memaklumkan kepada PAS Pusat, pihaknya sebelum ini telah membuat semakan terhadap ketiga-tiga mereka ini dan mendapati mereka adalah ahli PAS di peringkat kawasan.

Kemudian katanya, penyiasatan lanjut dibuat dengan bertemu sumber yang rapat dan mengenali latar belakang mereka, bagi mendapat kepastian berhubung penglibatan mereka dengan kumpulan jihad seperti yang didakwa.

Hasil siasatan katanya, ketiga-tiga mereka sememangnya ada terlibat dengan misi kemanusiaan di Mindanao.


"Adapun dari sudut terlibat dengan militan, sumber tidak boleh mengesahkan secara muktamad kepada saya sebab mereka semua ini tidak berada dalam negara dan tidak dapat dihubungi.

"Atas sifat tidak ada dalam negara, saya tidak boleh nak buat pengesahan sama ada mereka terlibat atau tidak," kata Mustafa lagi.

Ditanya, bagaimana PAS membuat keputusan dalam keadaan tidak mengetahui keterlibatan sebenar mereka, Mustafa berkata ianya dibuat kerana wujud unsur keraguan.

"Walaupun aktiviti sebenar secara muktamadnya tidak dapat kita pastikan, tapi maknanya ada keraguan yang boleh dikaitkan.

"Tetapi demi jaga kepentingan jamaah dan parti, jadi kita ambil keputusan seperti mana yang ditegaskan oleh presiden sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka yang dipecat keahlian boleh membuat rayuan dengan mengemukan bukti bagi membersihkan tuduhan.

Sebelum ini PAS turut memecat keahlian Ustaz Lotfi Ariffin kerana menyertai gerakan bersenjata di Syria.

-sumber berita: HARAKAHDAILY 14/7/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....