PETALING JAYA - Dora Shahila Kassim, pramugari MH17 seakan memberi bayangan apa akan berlaku kepada dirinya - kapal terbang ditembak - sejak sebulan dahulu lagi.
"Ketika itu, kami sekeluarga bercuti di Bali (Indonesia). Ketika bersarapan di hotel, dia tanya saya, macam mana kalau suatu hari nanti, ketika dia bertugas, kapal terbangnya ditembak," imbas abangnya, Don Shahidan.
"Saya pun apa lagi, terus marahkan dia kerana bercakap hal bukan-bukan. Tak sangka pula rupa-rupanya apa dia kata itu jadi kenyataan," ujar Don sambil menahan sebak.
Ketika itu, mereka bersembang sambil membaca surat khabar yang menyiarkan analisis mengenai tragedi pesawat MH370.
Tidak cukup dengan itu, ketika pertemuan terakhir mereka Isnin lalu, Dora Shahila ada menyebut tugasannya ke Amsterdam adalah penerbangan terakhir baginya.
"Selepas itu, dia kata mahu cuti panjang. Dia pun dah janji dengan anak tunggalnya, Nurliyana Yazeera Yazli, 15, yang bersekolah di Kolej Tunku Kursiah, Seremban untuk jemputnya dari asrama," katanya.
Tambah memilukan, Don bercerita apa yang berlaku pagi semalam, ketika ibunya mahu jemput Nurliyana dari asrama tidak lama selepas mereka mendapat maklumat mengenai tragedi yang meragut nyawa Shahila di Ukraine.
"Liyana tak mahu ikut neneknya balik. Dia tak percaya ibunya sudah tak ada. Katanya, dia nak tunggu ibunya datang sendiri jemput dia," imbas Don sebak.
Pemergian Dora Shahila memang begitu dirasakan.
"Dia adik yang sangat baik, suka bergurau. Kalau dia ada, meriah suasana, semua orang happy," katanya lagi.
Ditanya bagaimana dia dan keluarganya mula tahu tragedi yang menimpa Dora Shahila, kata Don, mereka tahu daripada laporan media asing tetapi masih tidak begitu yakin.
"Kami hubungi telefon dia tetapi tak dapat," kata Don ketika ditemui di rumah Dora Shahila di Taman Tun Dr Ismail.
Adik bongsu mereka, Darlina Kwan yang juga pramugari MAS berkata, dia diberitahu kejadian itu oleh kawan-kawan sekerjanya.
"Mereka dapat maklumat awal, selepas itu barulah keluar berita," katanya.
Darlina akui, hubungan dengan kakaknya itu memang sangat akrab.
“Setiap kali jumpa kami selalu kongsi pengalaman,” katanya.
Bagi Darlina, Dora Shahila adalah contoh seorang pramugari yang sangat komited dengan kerjayanya.
"Kawan-kawan selalu puji komitmen dan sikap profesionalnya," katanya.
Apa yang paling menyentuh hati Darlina apabila teringat Dora Shahila yang bersungguh-sungguh memujuknya mengikuti percutian keluarga bulan lalu.
“Jadual kami selalu tidak sama, jadi dia beberapa kali cakap, ‘Jomlah ikut ke Bali ni mungkin percutian terakhir dengan keluarga,” katanya.
Menurut Darlina, walaupun berita itu amat memilukan, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH.
- SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....