Cadangan penetapan gaji dan elaun baharu untuk jurulatih lantikan baharu dan yang sedang berkhidmat itu diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN semalam, selepas mengambil kira tidak berlaku sebarang pergerakan gaji jurulatih tempatan secara rasmi sejak Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan diwujudkan dan diluluskan Kabinet pada Jun 2006.
Skim dan elaun gaji baharu itu berkuat kuasa Mac, melibatkan 192 jurulatih sepenuh masa dan sambilan yang sedang berkhidmat.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, Lembaga Pengurus MSN berpendapat sudah tiba masa jurulatih mendapat pengiktirafan atas pengorbanan, ketekunan dan kejujuran mereka berdasarkan tahap Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPPK) masing-masing.
"Ia juga sebagai dorongan kepada jurulatih tempatan untuk meneruskan usaha murni mereka selain dapat menarik minat lebih ramai bekas atlet atau penggiat sukan untuk menceburi bidang kejurulatihan.
"Berbekalkan tangga gaji baharu ini, bidang kejurulatihan di Malaysia kini adalah satu kerjaya yang mampu menjamin masa depan,” katanya.
Menurut Khairy, MSN diminta melakukan penilaian semula berhubung tangga gaji sedia ada jurulatih tempatan pada Disember tahun lepas sebelum dikemuka dan dilulus pada mesyuarat Lembaga Pengurus MSN.
Di bawah tangga gaji baharu, jurulatih yang mempunyai SPKK Tahap 3 akan mendapat imbuhan paling tinggi iaitu sehingga 50 peratus kenaikan gaji berbanding sekarang.
"Jurulatih tempatan yang mempunyai SPKK Tahap 3 dianggap setaraf dengan jurulatih luar negara yang kini berkhidmat di bawah program MSN,” katanya.
Beliau juga berharap dengan skim gaji baharu ini, persatuan sukan kebangsaan (PSK) dapat melahirkan lebih ramai jurulatih SPKK Tahap 3 agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga dan kepakaran jurulatih asing pada masa akan datang.
Tangga gaji yang diluluskan hari ini membabitkan semua peringkat jurulatih sepenuh masa bermula dari RM1,900 sehingga RM4,500 sebulan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....