Kita percaya pada perkara ghaib, kita juga percaya kepada Ketentuan Tuhan. Namun untuk menentukan seseorang itu syirik atau sebagainya, siapalah kita.
ALLAH berfirman yang bermaksud: "(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"(Surah al-Baqarah, ayat 3).
Salah satu ciri orang bertakwa kepada Allah ialah beriman kepada perkara ghaib. Istilah ghaib bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasai pancaindera manusia yang lima kerana ia terlalu jauh atau pancaindera manusia tidak berupaya menjangkauinya.
Ikuti video ini dan anda nilai sendiri.
Ikuti tulisan dari Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin - SUMBER
Umumnya, manusia mendiami alam semesta terbahagi kepada dua kategori iaitu pertama, manusia yang hanya percaya kepada benda nyata dan dapat dilihat saja, bahkan mereka tidak mengakui ada sesuatu yang lain di sebalik bumi yang nyata ini.
Dalam hal ini, mereka tidak percayakan ada Tuhan atau malaikat dan dengan sendirinya mereka tidak percaya adanya kehidupan lain selain kehidupan dunia yang dirasai kini. Mereka inilah terdiri daripada golongan komunis, ateis dan sosialis.
Kedua, golongan yang percaya bahawa di sebalik kehidupan dunia bersifat sementara ini, ada satu alam ghaib yang tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Perkara ghaib itu sebenarnya berada di bawah Ilmu Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Semakin bertambah pengalaman hidup diperoleh seseorang manusia maka akan semakin bertambah mendalam kepercayaan dan keimanan seseorang Muslim kepada perkara ghaib.
Kepercayaan kepada perkara ghaib bukan hanya pada agama Islam bahkan penganut agama samawi seperti Kristian, Yahudi dan Buddha turut mempercayai perkara ghaib yang terdapat dalam ajaran masing-masing.
Setiap orang Islam yang mukalaf dan berakal waras wajib percaya atau beriman kepada perkara ghaib kerana Allah yang disembah adalah Zat yang Maha Ghaib. Zat Allah tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia sebaliknya hanya dapat dicapai dan dirasakan oleh jiwa yang beriman serta bertakwa.
Kewujudan Allah dan kehadiran-Nya akan menjadi jiwa sanubari orang beriman menjadikannya tenang dan tenteram.
Selain itu, Allah juga menciptakan banyak makhluk yang tidak dapat dilihat serta disaksikan pancaindera manusia seperti malaikat, jin dan syaitan. Ketiga-tiga makhluk itu mempunyai karektor berbeza antara satu sama lain.
Malaikat adalah makhluk Allah yang diciptakan daripada cahaya, memiliki sifat atau watak tetap iaitu sentiasa taat dan patuh melaksanakan segala diperintahkan Allah. Syaitan pula makhluk yang Allah ciptakan daripada api, hakikatnya adalah musuh Allah yang selalu menggoda dan mendorong manusia supaya ingkar kepada Allah.
Oleh itu, syaitan dan sekutunya memiliki watak antagonis iaitu membisik dalam jiwa manusia supaya tidak percayakan Allah di samping mendorong mereka melakukan pelbagai kejahatan di atas muka bumi ini.
Sebaliknya, jin adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada api juga, tetapi memiliki karektor sama dengan manusia. Dalam kalangan jin, ada yang ingkar dan kufur kepada Allah, ada pula taat dan beriman kepada Allah.
Jin pada hakikatnya tidak dapat mempengaruhi manusia kerana mereka sendiri mendapat godaan dan bisikan syaitan sama seperti manusia. Oleh sebab itulah kalangan jin ada yang beriman dan kafir.
Ketiga-tiga jenis makhluk itu adalah makhluk Allah yang hidup di alam ghaib yang memang tidak dapat dijangkau pancaindera manusia.
Termasuk dalam pengertian ghaib ialah umat Islam zaman ini beriman kepada Rasulullah kerana walaupun tidak pernah melihat atau mengenal wajah sebenar Rasulullah, mereka tetap beriman kepadanya.
Bagi orang yang beriman, dia dapat merasakan seolah-olah Rasulullah tetap hidup biar pun Baginda sudah wafat sejak 1400 tahun lalu.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat aku dan beriman kepada aku; dan berbahagialah juga bagi sesiapa yang beriman pada aku sedangkan dia tidak pernah melihat aku.” (Hadis riwayat Ahmad, Tabrani, Hakim dan Bukhari)
Perlu diinsafi, matlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Rukun iman yang menjadi pegangan setiap Muslim berasaskan kepada perkara ghaib bermula dari beriman kepada Allah hinggalah beriman terhadap qada dan qadar Allah.
Wallahu alam....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....