Selepas isu "wanita simpanan" yang menuntut bayaran tertunggak sejumlah RM3 Juta, kali ini Menteri Besar Selangor dikaitkan pula dengan rasuah.
Pemuda Umno Selangor telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian penjualan tanah di Kuala Langat antara Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat Tropicana Corporation Berhad yang didakwa mempunyai unsur penyelewengan.
Ketua Pemudanya, Zainuri Zainal berkata laporan itu dibuat supaya satu siasatan dapat dilakukan terhadap Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta pemilik tanah berhubung penjualan yang didakwa mencecah sekali ganda.
"Kami membuat aduan secara rasmi hari ini berikutan terdapat unsur rasuah dan salah guna kuasa.
“Kami mendesak tindakan yang sewajarnya diambil kepada individu yang dikenal pasti melakukan ketirisan atau (melakukannya) untuk kepentingan peribadi," katanya kepada pemberita di pejabat SPRM Selangor hari ini.
Zainuri mendakwa penjualan tanah yang dilakukan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya kerana dilakukan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri menjual tanah itu kepada Tropicana di bawah harga pasaran, iaitu RM17 sekaki persegi, sedangkan Tropicana menjual tanah yang sama kepada sebuah lagi syarikat swasta dengan nilai RM35 sekaki persegi.
Pada April tahun lepas, kerajaan negeri menerusi PNSB menjual 474.3 hektar tanah paya kepada Tropicana dan syarikat itu kemudian menjual satu perempat daripada jumlah tanah terbabit kepada Eco World Development Group Berhad dengan nilai lebih tinggi.
– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....