#MH370 : Lain Pula Dengan Pelajar China Ni!!!

KUALA LUMPUR: Pelajar China yang sedang mengikuti pengajian di Malaysia dan mereka yang pernah menuntut di negara ini, menggesa media China dan rakyat negara itu supaya tidak memburukkan imej Malaysia berikutan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370. 

Presiden persatuan Alumni Pelajar China Malaysia (MACSA), Adam Huang, berkata persatuan itu sudah menghubungi media di China melalui kedutaan negara mereka di sini untuk memintanya tidak lagi mengutuk Malaysia. 

"Kami telah menghubungi media di China supaya berhenti daripada mengutuk dan memburukkan imej Malaysia. Kami juga minta mereka membantu memulihkan kepercayaan rakyat China terhadap Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, hari ini. 




PRESIDEN Persatuan Alumni Pelajar Cina Malaysia (MACSA), Adam Huang (duduk, tengah) menunjukkan sijil penghargaan mengenai bantuan kerajaan Malaysia kepada China semasa gempa bumi tahun lalu ketika mengadakan sidang media mengenai tragedi pesawat MH370 di Wisma MCA di sini, hari ini. - Foto Abdullah Yusof


Di samping itu, kata beliau, MACSA memulakan usaha memberi penjelasan mengenai keadaan sebenar berhubung tragedi itu melalui media sosial. 

"Sejak minggu pertama tragedi ini, kami menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada negara ini dan memberi penjelasan tentang keadaan sebenar di sini," katanya. 

Huang berkata, pengguna media sosial juga diminta tidak lagi melakukan provokasi terhadap pihak berkuasa Malaysia, kerana perbuatan itu memburukkan lagi keadaan. 

Ditubuhkan pada 5 Januari 2012, persatuan itu kini mempunyai lebih 1,000 anggota. 

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi. 

Ia berdasarkan analisis data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini oleh syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara UK. 

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....