DIBOM!! Pusat Perubatan Malaysia Musnah, Seorang Terkorban!!



KUALA LUMPUR 18 Mac - Sebuah pusat perubatan yang didirikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Life Line for Syria, di Kallaseh, Aleppo, Syria, musnah dibom tentera Syria, kelmarin.

Pengeboman pusat perubatan Al-Hayat yang ditubuhkan dengan kos RM20,000, hasil sumbangan rakyat Malaysia itu turut mengorbankan seorang doktor wanita warga Syria yang berkhidmat secara sukarela di situ.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Shahrir Azfar Saleh, serangan bom berkenaan dipercayai sengaja disasarkan kepada pusat perubatan itu.

Katanya, berikutan itu, pusat berkenaan tidak boleh digunakan lagi dan memerlukan dana baharu dari Malaysia untuk pembinaannya.

"Saya dimaklumkan, serangan itu mengorbankan seorang doktor wanita berusia 30-an yang bertugas pada hari kejadian. Ada yang turut cedera namun jumlahnya masih belum diketahui.

"Peralatan dan barangan perubatan yang dibeli hasil sumbangan rakyat negara kita juga rosak, terutama klinik kanak-kanak dan bilik bedah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahrir Azfar memberitahu, pusat perubatan itu mula beroperasi sejak Januari tahun lalu dan menerima sumbangan sebanyak RM5,000 sebulan dari Malaysia Life Line for Syria untuk beroperasi.

"Kita menyalurkan dana bulanan kepada Al-Hayat dan wang itu adalah hasil sumbangan dari rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib menimpa rakyat negara berkenaan," katanya.

Shahrir Azfar berkata, meskipun berlaku kejadian pengeboman itu, Malaysia Life Line for Syria komited untuk meneruskan sumbangan dana kepada Al-Hayat.

"Usaha pemulihan akan diuruskan oleh Malaysia Life Line for Syria dan kita menganggarkan RM20,000 diperlukan untuk membangunkan kembali pusat berkenaan.

"Dana pembangunan semula itu kemungkinan akan dihantar bulan depan kerana ia amat diperlukan rakyat di negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi pembinaan semula atau memberi dana berterusan Al-Hayat, boleh berbuat demikian kepada Salam Suriah Resources, nombor akaun 5645-5733-8496 atau hubungi talian 03-41416732.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....