Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatan Menteri Besar Selangor yang disandang oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin akan diganti bagi menaikkan prestasi negeri itu.
"Tindakan ini bukan kerana mutu kerja kerana Abdul Khalid telah melakukan yang terbaik dan berjaya menyelesaikan banyak isu yang timbul di negeri itu.
"Cuma penambahbaikan perlu dilakukan bagi mengecap lebih banyak kejayaan di negeri itu yang merupakan negeri model bagi pakatan rakyat (PR) dan rumah untuk pemimpin PR.
Berhubung tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, jelasnya, keputusan itu bukanlah sesuatu yang tidak baik.
"Ahli politik adakalanya 'naik' dan 'turun', jika mereka bersangka untuk berada di atas sepanjang masa ia tidak akan membawa mereka ke mana.
"Bagaimanapun, saya faham bahawa saya berhutang penjelasan kepada ramai orang, termasuk penyokong pakatan sendiri. Saya memberi jaminan akan memberi penjelasan dalam tempoh terdekat mengenai tindakan ini (bertanding di DUN Kajang)," katanya.
Beliau menambah, PKR akan mengharungi pilihan raya kecil (PRK) ini dengan kos yang rendah dan parti telah membuat keputusan untuk mengguna semula bahan terpakai dalam pilihan raya umum lalu.
"Saya akan mengguna semula sebanyak mana poster dan kain rentang yang ada dan yang baharu pula akan dibuat mengikut keperluan Suruhanjaya Piliha Raya (SPR)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberitahu, permuafakatan nasional yang dicadangkan bertujuan mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah yang memberi kesan kepada rakyat.
"Ketika ini, ketegangan kaum semakin berkembang dikalangan rakyat.
"Ia merupakan keutamaan kami untuk memulihnya dan berharap kerajaan yang memerintah akan berasa yang sama kerana situasi itu boleh mengancam rakyat.
"Daripada pihak kami telah bersedia untuk bertemu (kerajaan) dan membincangkan isu ini pada bila-bila masa sahaja selain berharap ianya dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....