Kalimah ALLAH: Pengarang Herald Akan Dipanggil Segera - PDRM



KLANG - Polis Selangor akan memanggil pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence Andrew dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya mengenai penggunaan kalimah ALLAH di gereja Selangor.


Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata polis juga sedang berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai isu penggunaan kalimah ALLAH di sidang gereja seperti yang dikatakan Andrew, minggu lalu. 

Menurut Mohd Shukri lagi, pengarang itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Paderi Lawrence dalam kenyataannya di laman sebuah portal pada 27 Disember lalu menyatakan pihaknya akan tetap menggunakan kalimah ALLAH di semua gereja di Selangor.







Sementara itu TPM pertahan tindakan UMNO Selangor,serta NGO, bantah Kristian guna kalimah Allah.

UMNO Selangor dan NGO-NGO di Selangor khususnya membantah kenyataan 'biadap' Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew dipertahankan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Munurut Muhyiddin tindakan itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam saja.

"Saya fikir tindakan itu tidak bercanggah tapi selari dengan titah ketua negeri (Sultan). Tindakan UMNO Selangor itu adalah keputusan mereka sendiri," katanya pada sidang media selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa Setapak sebentar tadi.

Sabtu lepas, Pengarang mingguan Katolik, Herald,Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu meskipun JAIS akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.

Dalam temubual yang disiarkan oleh The Malaysian Insider, Lawrence berkata Artikel 11(3) (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal keagamaan mereka sendiri.

“Agama kami tidak boleh diuruskan oleh sebarang kumpulan agama Islam. Ia bertentangan dengan Perlembagaan. Kami akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan kami,”ujarnya.

Semalam UMNO Bahagian Shah Alam, Klang, Kapar, Kota Raja, Tanjung Karang dan Sabak Bernam membuat laporan terhadap beliau, menuntutnya memohon maaf selain mahu tindakan dikenakan terhadapnya.

Sebelum ini, pelbagai pihak mahu Paderi Lawrence Andrew diambil tindakan undang-undang kerana menghina mahkamah apabila mengeluarkan kenyataan gereja Katolik di Selangor tetap akan menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan bahasa Melayu.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, kenyataan biadab Pengarang The Herald itu juga menghina titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris yang mahu rakyat negeri itu akur kepada larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Mahkamah sebelum ini telah memutuskan kalimah tersebut eksklusif hanya untuk kegunaan umat Islam.




"Kenyataan Andrew mahu menggunakan kalimah berkenaan adalah bertentangan dan menghina keputusan mahkamah, jadi tindakan undang-undang perlu diambil terhadapnya," katanya.

Ismail berpendapat, pihak istana juga boleh menilai kenyataan tersebut agar tindakan sewajarnya diambil bagi mempertahankan titah sultan dan institusi raja di negara ini.

Katanya, jika tindakan tegas tidak diambil dalam kadar segera, kenyataan paderi berkenaan boleh memberi impak lebih besar termasuk menjadi contoh ikutan kepada gereja lain untuk turut menggunakan kalimah Allah.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu mendakwa paderi berkenaan di mahkamah.

Beliau berkata, tindakan tersebut amat wajar untuk menghentikan kegelisahan umat Islam selain mengekalkan keharmonian hubungan masyarakat majmuk negara ini.

"Kenyataan tersebut jelas tidak menghormati mahkamah, titah sultan dan menunjukkan paderi itu seolah-olah tiada perasaan yang baik terhadap persefahaman serta keharmonian antara kaum dan agama.

"Umat Islam seperti dihimpit ke dinding dan saya bimbang ada pula pihak yang akan memberi reaksi balas terhadap kenyataan itu dengan melakukan tindakan sendiri hingga tercetus sesuatu yang buruk pada masa depan," katanya yang mengesahkan menerima banyak aduan daripada umat Islam yang marah dengan kenyataan tersebut.

Nadzim memberitahu, jika reaksi berlaku, negara akan menjadi huru-hara dan punah malah tiada sesiapa pun yang mendapat untung.

"Justeru kita minta semua pihak lebih bertanggungjawab dalam hal ini, saya percaya Kristian juga mengajar penganutnya menghormati serta menjaga keharmonian negara," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....