JOHOR BAHRU - Tiga penjenayah dipercayai warga asing mati ditembak oleh sepasukan polis selepas mereka cuba menyerang pasukan keselamatan itu dalam kejadian di Ulu Tiram, awal hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam kejadian 4.45 pagi itu, seorang daripada penjenayah melepaskan dua das tembakan ke arah pasukan polis manakala dua lagi melibas parang.
Gambar Hiasan
"Mereka bertindak demikian apabila pasukan polis yang sedang melakukan rondaan Ops Cantas Khas cuba menghampiri mereka. Akibat itu, anggota kami terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya dalam sidang media, di sini.
Menurutnya ketiga-tiga penjenayah terbabit mati di tempat kejadian.
Mohd. Mokhtar berkata, siasatan awal juga mendapati sejam sebelum kejadian, tiga lelaki berkenaan menyamun tiga pekerja tapak semaian di rumah kongsi mereka.
Menurut Mohd Mokhtar, selain pistol dan tiga peluru hidup serta dua bilah parang, pemeriksaan polis turut menemukan sepucuk pistol tiruan, tangkal dan sejumlah wang tunai serta beberapa barangan dipercayai hasil samun.
Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh suspek, katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....