Seorang kakitangan wanita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara 11 individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes curi 26 jentera berat di lima negeri membabitkan nilai RM2.6 juta sejak awal tahun lalu.
Wanita berusia 56 tahun itu ditahan semalam bersama dua orang tengah atau ‘runner’ bagi membantu siasatan kes curi jengkaut dan jentera pengorek yang dilaporkan hilang di Pahang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Perak.
Difahamkan, sindiket terbabit mencuri jentera berat itu di lokasi tertentu dan dipercayai melarikannya menggunakan treler sebelum menjual semula kepada pembeli selepas memadam nombor casis kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Pahang Datuk Shariffudin Abdul Ghani berkata, sindiket itu berjaya dilumpuhkan menerusi Op Cantas Lejang hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh
“Hasil serbuan di beberapa lokasi di negeri ini, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, polis menahan lima individu berusia antara 30 dan 55 tahun selain menemui 26 jentera berat iaitu 23 jengkaut jenis Case, dua jengkaut jenis JCB dan sebuah jentera pengorek dianggarkan bernilai RM2.6 juta.
“Siasatan lanjut mendapati sebahagian jentera itu dilaporkan dicuri di negeri ini sebelum dijual di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur dengan nombor casis dipadamkan,” katanya pada sidang media di Temerloh, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh.
Shariffudin berkata, dengan tertangkap lima suspek itu, polis seterusnya mengesan satu sindiket mengeluarkan dokumen kenderaan palsu seperti geran dan cukai jalan dengan penangkapan tiga lelaki di Desa Pandan, Kuala Lumpur.
“Susulan itu, pagi ini (semalam), polis menangkap tiga lagi suspek termasuk seorang kakitangan JPJ Wangsa Maju dan dua orang tengah berusia 30 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya 11 suspek itu, polis menyelesaikan 26 kes kecurian jentera berat dilaporkan iaitu dua di Pahang, Selangor (sembilan), Johor (lima), Kuala Lumpur (tiga) dan Perak (satu) manakala baki enam jentera lagi tidak dapat dikesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....