PAS FOR ALL : "Keterbukaan" Atau Kejutan Budaya????



Setelah menghadiri Muktamar PAS ke-59 baru-baru ini saya terkesan bahawa sesetengah ahli PAS menghadapi ‘kejutan budaya’ kesan sikap keterbukaan PAS, lebih-lebih lagi dengan slogannya ‘PAS For All’.

Sikap keterbukaan ini mengundang warga PAS menghadapi suasana baru yang sangat mencabar, malah mencemaskan bagi kalangan agamawan di dalam PAS apabila mereka merujuk kepada pendekatan syara’. Umpamanya persembahan melibatkan kumpulan muzik Underground di Karnival Muktamar PAS, Jumaat lalu, dilakukan untuk menarik anak muda yang minat hiburan. Namun persembahan itu berlangsung secara terkawal.

Ketua Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam berkata, pengunjung mungkin terkejut dengan salah satu pengisian persembahan malam itu yang berkonsepkan rock metal.

Namun menurutnya, ia sesuai dengan tema karnival tahun ini, 'PAS For All' (PAS untuk semua) di mana persembahan Gig Grid Zon malam itu dikhususkan kepada golongan muda.

Dr Muhaimin mengukuhkan hujahnya bahawa persembahan serupa ini adalah menepati sikap keterbukaan PAS, tetapi tidak melanggar perinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Namun ada beberapa perwakilan di Muktamar itu yang menyebut bahawa ‘PAS perlu terbuka’ dengan harapan PAS menjadi parti yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan suasana dan zaman yang berubah.

Seingat saya, kata-kata ‘keterbukaan’ ini mulai dipopularkan oleh bekas Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor yang berusaha merubah imej PAS dari parti yang exclusive (tertutup) kepada inclusive (terbuka) iaitu berinteraksi lebih luas dengan masyarakat di luar PAS. Namun, Almarhum mengingatkan bahawa, “Betapapun keterbukaan dan toleransinya, PAS tetap berada dalam orbit Islam.”

Sejak sikap terbuka ini dilaksanakan oleh PAS, kesannya sangat nyata bahawa masyarakat bukan PAS mulai mendekati dan memahami PAS. Maka hasilnya telah terjalin hubungan baik antara warga PAS dengan masyarakat di luar PAS.

Bagaimanapun masih ada sesetengah warga PAS yang mengalami ‘kejutan budaya’ atau ‘culture shock’ dengan kesan sikap keterbukan PAS ini, misalnya, seperti apa yang berlaku di persembahan melibatkan kumpulan muzik Underground di Karnival Muktamar PAS ke-59 itu. Namun, menariknya, sesetengah ahli PAS dapat menerima persembahan seumpama itu.

Ini adalah antara contoh kecil bagaimana sikap ahli PAS berinteraksi dengan suasana baru ini. Jelas bahawa sesetengah ahli PAS dapat menerimanya, sementara yang lain menolak, malah berada dalam ‘kejutan budaya’ apabila menyaksikan semuanya itu.

Kejutan budaya adalah istilah yang digunakan bagi menggambarkan kegelisahan dan perasaan (terkejut, kekeliruan, dan lain-lain) yang dirasakan apabila seseorang atau golongan terpaksa duduk dalam kebudayaan atau persekitaran sosial yang berlainan sama sekali, seperti ketika berada di negara asing.

Ia timbul akibat kesukaran dalam asimilasi kebudayaan atau suasana baru, menyebabkan kesukaran bagi mengenali apa yang wajar dan tidak wajar. Seringkali ini digabung dengan kebencian moral atau estatik, malah agama yang kuat mengenai sesetengah aspek budaya berlainan atau budaya baru.

Sejak PAS membuka ruang sebagai parti yang inclusive (terbuka), warga PAS didedahkan dengan interaksi PAS dengan rakyat pelbagai bangsa, agama dan tradisi. 

Tuan Guru Nik Abd Aziz memberikan angpau kepada mulut naga di tarian naga oleh kumpulan budaya belia Cina, pendukung PAS memberikan hadiah di Tahun Baru Cina, begitu juga sebaliknya. Sementara itu Majlis Hari Raya di Markas PAS, malah di masjid, dihadiri oleh masyarakat Cina dan India terutama di bandar besar. Demikian juga ketika kempen pilihan raya, ramai orang Cina dan India yang bukan saja mengibarkan bendera PAS, malalah menyelimutkannya di badan mereka. 

Ini phenomena yang sangat menarik, bahawa ahli PAS sudah menerima hakikat keterbukaan dan toleransi ini, bukan semata-mata untuk mendapat undi, tetapi sebagai tuntutan masa dan keadaan sesuai dengan sikap baru PAS. Banyak lagi contoh mengenai keterbukaan dan toleransi PAS ini.

Namun, menurut pengamatan saya, setelah mendengar perbahasan dan pelbagai percakapan yang di dengar di luar dewan Muktamar, saya terkesan bahawa masih ada sesetengah warga PAS yang mengalami ‘kejutan budaya’ apabila berdepan dengan suasana baru ini. Saya tidak tahu bagaimana sikap pimpinan PAS yang berada di atas pentas di Muktanar tersebut.

Sasana baru yang dihadapi oleh warga PAS ini akan terus berlanjutan, justeru semakin ramai - pelbagai golongan masyarakat - yang telah menyertai PAS, malah yang akan menyertai PAS. Semuanya ini menambah kepelbagaian di dalam PAS dan ini, bagi saya, adalah kekuatan PAS, tetapi menuntut kebijaksanaan pendukung PAS untuk mendepani situasi ini.

Perwakilan dan pemerhati yang menghadiri Muktamar baru-baru ini terdiri dari pelbagai golongan, latar belakang pendidikan yang mereka terima serta suasana persekitaran kehidupan mereka yang berbeza. Maka itu penerimaan golongan agamawan tentulah berbeza dengan penerimaan golongan bukan agamawan mengenai fenomena baru ini. 

Ini tercermin dari reaksi penerimaan sesetengah perwakilan mengenai Program Karnival PAS For All selama tiga hari sempema Muktamar tersebut. Program tersebut dikritik kerana menampilkan persembahan kumpulan rock bersama artis yang kini bersama PAS – Sham Kamikaze dan Nazmi Karim.

Seorang perwakilan dari Kedah, mempertikaikan penganjuran Program ‘Karnival PAS For All’ selama tiga hari sempema Muktamar tersebut. 

Dr Muhaimin Sulam segera menjawab bahawa persembahan melibatkan kumpulan muzik Underground itu dilakukan untuk menarik anak muda yang minat hiburan dan persembahan itu berlangsung secara terkawal.

Beliau berkata, pengunjung mungkin terkejut dengan salah satu pengisian persembahan malam itu yang berkonsepkan rock metal.

Namun menurutnya, ia sesuai dengan tema karnival tahun ini, 'PAS For All' (PAS untuk semua) di mana persembahan Gig Grid Zon malam itu dikhususkan kepada golongan muda.

"Kehadiran empat lima anak muda di atas pentas dengan rambut panjang, seluar jeans, kemeja-T tidak bersongkok dan terenjut di pentas menyebabkan penonton seakan-akan terkena serangan jantung.

Tetapi persembahan itu adalah salah satu cara kita menarik anak muda yang sememangnya sukakan hiburan rancak, namun tidak melanggar prinsip parti," katanya dalam ucapan penggulungan.

Beliau berkata, ahli PAS jangan tutup pemikiran mereka dengan isu-isu keagamaan saja, tanpa melihat persekitaran masyarakat yang luas untuk didekati.

Akhirnya, menurut pendapat saya, kehadiran para artis di dalam PAS yang dikira sebagai fenomena baru, akan mengambil masa untuk diterima oleh ahli PAS. Justeru kita perlukan sedikit kesabaran sehingga suasana ini berubah dan akhirnya tidak akan berlaku lagi ‘kejutan budaya’ di dalam PAS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....