Seorang juruukur bahan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menerusi laman Facebook Oktober tahun lalu.
Hakim Muhammad Jamil Hussin turut memerintah Ahmad Abd. Jalil, 28, yang sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Ahmad disabitkan bersalah atas tuduhan menggunakan aplikasi Facebookhttp://www.facebook.com/ ibrahim.osman.313371 dengan nama profail 'Zul Yahya' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi satu komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti institusi Kesultanan Johor dan rakyat negeri itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut menggunakan alamat internet protokol 175.139.168.216 di RD Resources Sdn. Bhd., No. 30-3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang, 10 Oktober 2012.
Dakwaan terhadap Ahmad dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Dalam keputusannya, Muhammad Jamil berkata, keterangan tertuduh yang tidak pernah memuat naik gambar, tidak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tidak mempunyai kaitan dengan akaun Facebook berkenaan dan tidak mengenali Ibrahim Osman adalah penafian semata-mata.
Terdahulu, peguam bela, Mohd. Radzlan Jalaludin yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya tidak dipenjara, sebaliknya dikenakan denda munasabah kerana tertuduh sedang menyambung pengajian peringkat sarjana dan hukuman penjara boleh menjejaskan masa depannya.
Selain itu, Ahmad mempunyai 10 adik-beradik dan seorang isteri yang sedang menuntut di universiti.
Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya memandangkan kesalahan menghina Sultan Johor adalah sesuatu yang serius.
Ahmad dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 8 November tahun lalu dan pada 14 Jun lalu, tertuduh diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan.
Sejak perbicaraan bermula pada 5 Februari lalu, seramai 30 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri telah tampil memberi keterangan.
Pada prosiding hari ini, ibu bapa serta beberapa adik-beradik tertuduh turut hadir di mahkamah.
Ahmad dibebaskan selepas membayar denda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....