MESTI BACA!! Demi Islam Dan Maruah Negara - JAKIM



Umat Islam di negara ini diseru supaya bersatu untuk menolak tuntutan yang akan dikemukakan oleh gabungan 54 NGO kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland yang akan membuat semakan berkala rekod hak asasi manusia negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu minggu depan.


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam teks khutbah Jumaat yang diedar hari ini mempersoalkan kewajaran tuntutan berkenaan yang dilihat cuba menghancurkan keharmonian masyarakat dan menggugat kedudukan agama Islam seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara tuntutan itu termasuk hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta dakwaan diskriminasi ke atas wanita Islam dalam peruntukan tertentu undang-undang keluarga Islam.




Laporan oleh gabungan NGO itu juga menyentuh dakwaan diskriminasi terhadap pengikut syiah serta bantahan pengharaman bahan penerbitan yang menyalahi hukum syarak.

"Persoalannya timbul di sini apakah tujuan gabungan NGO tersebut membuat pelbagai aduan dan tuntutan sedemikian di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva?," kata teks khutbah berkenaan.

Teks khutbah bertajuk Menangani Konsep Kebebasan itu dikeluarkan di laman web Jakim.

Khutbah itu menarik perhatian bahawa NGO berkenaan membuat tuntutan itu untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan amalan kebebasan secara mutlak dengan berselindung di sebalik apa yang didakwa sebagai hak asasi manusia.

Khutbah itu menegaskan adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap perkara tersebut kerana ia melibatkan identiti dan maruah umat Islam.

"Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menolak segala tuntutan ini.

"Jangan kita terlibat dengan budaya kebebasan yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan," kata khutbah itu lagi.

Jakim turut berpendapat tuntutan itu digerakkan "secara halus" oleh "musuh-musuh Islam atau umat Islam yang telah diperkudakan oleh musuh Islam".

Ia juga berpendapat gejala negatif yang dipertahankan oleh tuntutan NGO itu berlaku kesan propaganda fahaman pluralisme agama yang semakin hari semakin berkembang di negara ini.




Untuk itu, khutbah berkenaan mengingatkan bahawa dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak kerana setiap tindak tanduk manusia "dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah".

Khutbah itu juga menggesa pihak berkuasa menangani kumpulan NGO itu yang didakwa "sengaja mengada-adakan cerita" untuk menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Selain tindakan undang-undang, Jakim mencadangkan NGO itu disiasat bagi memastikan tidak mendapat pembiayaan daripada pihak luar bagi mencemarkan nama baik dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, khutbah berkenaan yakin Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva rasional dan tidak akan terpengaruh dengan laporan negatif NGO berkenaan terhadap kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....