Alor Setar: “Kalau abang tak nak cerai, saya akan nikah (secara) mutaah dengan lelaki lain.” Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Azam, 47, walaupun diucapkan bekas isterinya lapan tahun lalu.
“Kata-kata itu akan saya ingat sampai mati. Ia menusuk hati dan menjatuhkan maruah saya sebagai suami,” katanya menceritakan pengalaman mendirikan rumah tangga dengan pengikut tegar Syiah sehingga terpaksa menceraikan wanita itu berikutan perbezaan pegangan dan akidah.
Azam berkata, bekas isteri yang dinikahi pada 1997 itu nekad menuntut cerai kerana terlalu taksub dengan hasutan ‘tok guru’ Syiah selepas dia enggan mengikuti pengajian dan seterusnya menjadi pengikut kumpulan berkenaan.
Malah, dia yakin ugutan bekas isterinya mahu berkahwin lagi secara mutaah walaupun masih menjadi isterinya, diajar ‘tok guru’ Syiah berkenaan.
Menurutnya, selepas pelbagai usaha mengajak bekas isteri kembali ke pangkal jalan gagal, dia terpaksa menceraikannya selepas mendapat nasihat beberapa kaunselor dan tokoh agama yang menyatakan, hanya perceraian dapat mengatasi masalahnya berikutan wanita itu menganuti ajaran yang sangat berbeza dengan umat Islam lain di negara ini.
“Sebelum mengambil keputusan bercerai pada 2004 iaitu selepas tujuh tahun berkahwin, puas saya memujuknya supaya kembali kepada ajaran Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan meninggalkan Syiah yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.
“Namun, dia bertegas kononnya Syiah adalah aliran Islam yang terbaik,” katanya kepada Metro Ahad di sini.
Azam berkata, pada awal perkahwinan mereka, bekas isterinya yang juga guru tidak menimbulkan masalah, malah sangat mendokong pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Menurutnya, perangai bekas isterinya berubah selepas berkawan baik dengan seorang guru wanita di sekolahnya dan selepas itu, bekas isteri kerap menceritakan kebaikan secara berlebih-lebih mengenai Ahlul Bait (keluarga Nabi).
“Ketika itu, saya langsung tidak mencurigai kelakuannya. Namun, dia pernah menyatakan mazhab Ahlul Bait (Syiah) adalah terbaik berbanding mazhab muktabar lain, menyebabkan saya mula terasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Tidak lama selepas itu, isteri membawa beberapa naskhah buku, risalah dan nota berhubung ‘mazhab’ berkenaan yang menceritakan kebaikan keluarga nabi.
“Bagaimanapun, risalah itu secara jelas menghina dan mengkafirkan sahabat Rasulullah, terutama Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab,” katanya.
Berikutan itu, dia mula tidak senang dengan tindak-tanduk isterinya kerana sepanjang pengetahuannya, semua khalifah di kalangan Khulafaur Rasyidin dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad SAW kerana perjuangan dan pengorbanan mereka menyebarkan Islam.
Menurutnya, bekas isteri pernah mengajaknya mendengar ceramah disampaikan guru Syiah itu, namun dia mengelak kerana bimbang akidahnya terpesong.
Azam berkata, bekas isterinya mula menunjukkan perubahan akidah yang ketara pada 2000 dan berlarutan sehingga mendapat anak ketiga sebelum rumah tangga mereka gagal diselamatkan lagi apabila terlalu taksub dengan ajaran Syiah.
“Sebelum kami bercerai, bekas isteri mempraktikkan amalan Syiah seperti bersolat hanya tiga kali sehari dan berpuasa mengikut cara kumpulan itu iaitu hanya berbuka selepas tiada lagi sinar matahari, jam 8 malam.
“Tindakannya membuatkan saya tidak selesa, sekali gus meretakkan hubungan kami. Malah, ibu bapa pernah beranggapan bekas isteri tidak sudi berbuka puasa dengan mereka, sedangkan hakikatnya dia berbuka puasa lebih lewat berbanding umat Islam lain,” katanya.
Azam berkata, dia kini bimbangkan tiga anaknya berusia antara 12 hingga 16 tahun yang tinggal bersama bekas isteri.
“Saya risau akidah anak turut terpesong daripada landasan Islam sebenar,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, jika mengambil anaknya tinggal bersama pada hujung minggu, dia memerhatikan cara mereka bersolat, namun setakat ini mereka dilihat menunaikan ibadat itu mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Bagaimanapun, saya bimbangkan persepsi dan cara mereka berfikir. Saya pernah berbual dengan anak sulung (lelaki) mengenai keadaan politik serta pergolakan di Iran dan Syria. Hasil perbualan itu, saya dapati dia mengagumi dua negara itu.
“Iran negara paling ramai penganut Syiah dan secara tidak langsung ia menggambarkan cara anak saya berfikir dan pasti dia turut mengagumi beberapa pemimpin negara itu yang berpegang teguh pada ajaran berkenaan.
“Kini saya hanya mampu berdoa semoga Allah memberi petunjuk kepada bekas isteri dan melindungi anak daripada terpengaruh dengan ajaran Syiah.
“Pelbagai usaha saya lakukan bagi mengajak bekas isteri kembali ke pangkal jalan, namun ditolak,” katanya. ~SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....