KRISIS MESIR : MKN Hantar Pasukan!!



KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghantar satu pasukan ke Mesir bagi menilai keperluan evakuasi dan situasi keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.


MKN dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu yang diketuai Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berperanan menyelaras persediaan dan persiapan dengan pihak berkaitan di negara tersebut sekiranya pelan evakuasi dilaksanakan.

"MKN telah diarahkan oleh kerajaan untuk menyelaras segala persiapan yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir berikutan keadaan tidak menentu di negara itu.

"Bagi tujuan ini, satu pasukan telah dihantar ke Mesir bagi menyelaras perjalanan proses ini dan sehingga kini dianggarkan seramai 3,300 rakyat Malaysia yang masih berada di negara tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut situasi keselamatan yang berlaku di Mesir kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila bilangan angka korban semakin meningkat selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan ke atas penyokong bekas presiden yang digulingkan, Dr. Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda pada minggu ini. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....