CEMAR DAN HINA SURAU : Apa Tindakan Ke Atas Warga Singapura Ini?





Saya menyambut baik tindakan Ketua Utama Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana Nayake MahaThera yang memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini atas insiden sekumpulan penganut Buddha yang dilaporkan mencemar sebuah surau di Johor baru-baru ini.

Beliau dengan rendah hati melahirkan rasa kesal atas kejadian tersebut dan menggesa agar insiden yang sedemikian tidak berulang lagi pada masa yang akan datang.

Meskipun menyedari kumpulan yang bermeditasi di surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi itu merupakan warganegara Singapura yang berkunjung ke Malaysia, Ketua Utama Buddha itu tetap mengambil tanggungjawab atas kesedarannya berhubung sensitiviti rakyat di negara ini.

Selain itu, saya juga difahamkan bahawa pemilik resort berkenaan telah ditahan pihak berkuasa atas siasatan mencemarkan rumah ibadat dan bakal berdepan hukuman undang-undang sekiranya didapati bersalah kelak.

Pertamanya, saya selaku salah seorang umat Islam di negara ini yang terkesan dengan insiden yang mencabar kesabaran umat Islam itu sedia menerima permohonan maaf Datuk K. Sri Dhammaratana Nayake MahaThera selaku Ketua para penganut Buddha di Malaysia.

Saya pernah mengenali beliau secara peribadi ketika bersama-sama beliau mengikuti misi bantuan kemansiaan 1Malaysia ke Myanmar anjuran Datuk Azeez Rahim pada tahun lalu. Secara peribadi, saya dapati beliau sememangnya seorang yang berhemah, adil dan sensitif dengan budaya di Malaysia.

Justeru itu saya tidak punya masalah untuk menerima permohonan maaf tersebut. Cuma, saya ingin menegaskan kepada beliau supaya memastikan kejadian seumpama itu atau yang mampu mencabar sensitiviti umat Islam berlaku lagi di negara kita.

Keduanya, saya serahkan kes siasatan terhadap pemilik resort tersebut kepada pihak berkuasa sepenuhnya. Tolong siasat seteliti mungkin dan sila dakwa “tauke” berkenaan sekiranya wujud kes sebagaimana yang didakwa. Kami umat Islam tidak rela Islam diperlakukan sedemikian rupa.

Ketiganya, saya ingin mempersoalkan tentang kumpulan penganut Buddha dari Singapura yang dikatakan mengadakan sesi meditasi di surau resort berkenaan, apakah tindakan yang diambil terhadap golongan biadap dan kurang ajar itu?

Saya kira, mungkin agak susah untuk mereka dihadapkan ke mahkamah di Malaysia memandangkan mereka adalah warga Singapura. Tapi, takkanlah kita wajar “melepaskan” mereka begitu saja tanpa sebarang tindakan?

Saya menyarankan agar pihak berkuasa mengenal pasti identiti kumpulan penganut Buddha berkenaan dan pihak imigresen perlu bertindak tegas dengan mengharamkan mereka menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pada masa yang akan datang.

Perkara ini bukan soal kecil. Ini adalah soal maruah Islam di bumi Malaysia. Apakah mereka fikir Malaysia akan membiarkan saja mereka mencetus kemarahan umat Islam di sini dan kemudian mereka boleh “dilepaskan” begitu saja? “Hit and run”? Mereka silap besar…

Budaya orang Melayu memang tidak membenarkan tetamu masuk ke rumah kita tanpa menanggalkan kasut mereka. Kalau dirumah saya, saya tidak benarkan dan jika tetamu itu degil, rasanya mungkin dia akan rasa “penampar”.

Setidak-tidaknya, tetamu itu dapat pengajaran berguna dari tuan rumah berbangsa Melayu dan mungkin tidak berani mengulangi kebiadapan tersebut, bukan?

Itu soal budaya. Kalau soal budaya pun kita boleh berlaku setegas itu, saya berpandangan bahawa kita tidak perlu berkompromi jika persoalan berkait dengan maruah agama Islam. Bukankah Islam itu lebih penting berbanding budaya bangsa?

Kalau ada pihak yang kononnya takut “pelancong lari” dengan tindakan yang diambil terhadap kumpulan biadap dari Singapura itu dan menganggap tindakan tersebut bersifat “berlebih-lebihan”, saya kira pandangan pihak itu wajar diketepikan.

Pandangan seperti itu pada saya samalah seperti meletakkan kepentingan industri “pelancongan” lebih penting dari maruah Islam. Tak perlulah “berlebih-lebih” terhadap pelancong yang kurang ajar terhadap musalla yang menjadi tempat rukuk dan sujud umat Islam itu.

Islam dan maruah agama Islam lebih penting dari segalanya, bukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....