SEPAKAT: BN DAN PR Sepakat Isu Pasangan Hina Islam!!



KUALA LUMPUR 16 Julai - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini sepakat mahu kerajaan mengenakan tindakan paling tegas terhadap pasangan kontroversi Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, ekoran kebiadapan mereka menghina kesucian agama Islam.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangkit dan mencetuskan isu itu pada sesi perbahasan Dewan Rakyat berkata, perbuatan pasangan tersebut tidak boleh dibiarkan dan mereka perlu ditahan, didakwa dan dipenjarakan sekiranya sabit kesalahan.

Tegasnya, pasangan tersebut bukan contoh yang baik kepada remaja masa kini di negara ini dan sewajarnya mereka dihukum dengan hukuman seberat-beratnya.

"Saya minta pihak polis tahan mereka di lokap tiga malam, biar mereka rasa bagaimana penderitaannya, tiga malam cukup. Selepas itu dakwa mereka di mahkamah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Bung Moktar berkata, sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dalam masa sama akan terdapat pula orang Islam mengutuk agama lain yang sudah pasti akan timbul ketegangan agama sekali gus menjerumuskan Malaysia bukan sebuah negara selamat.

Terdahulu pada awal perbahasan, Bung Moktar berkata, tindakan Alvin dan Vivian yang memuat turun ucapan selamat menyambut bulan Ramadan dengan menjamu selera hidangan bak kut teh (sup tulang babi) lengkap dengan logo halal benar-benar mengejutkan rakyat negara ini.

"Saya hairan mengapa akhir-akhir ini perilaku remaja dalam negara begitu liar seolah-olah tiada penghormatan. Bagi saya soal agama bukan lagi soal toleransi tetapi penghormatan penerimaan.

"Sebab itu saya melihat ramai pemimpin dari suku Tionghua yang turut mengutuk tindakan pasangan ini," katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ketika bangkit mencelah berkata, pihaknya tidak akan mengizinkan mana-mana pihak dengan sengaja menghina agama Islam seperti mana dilakukan oleh Alvin dan Vivian.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menghina kepercayaan agama lain.

"Ini pendirian kita yang amat tegas yang kita laksanakan tetapi khusus untuk menyokong pendirian Kinabatangan. Saya tidak fikir kita patut lengahkan, siasatan segera dan tindakan (perlu) diambil sebagai satu pengajaran. Undang-undang mesti dipatuhi, penghinaan agama tidak boleh diizinkan," katanya.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) dalam celahannya mahu semua pihak melihat insiden yang berlaku itu secara menyeluruh.

"Saya fikir gejala membangkitkan isu sensitif seperti ini harus dibendung bersama demi negara dan masa depan (rakyat)," ujarnya.

1 ulasan:

  1. Harap2 pemimpin2 politik semua jngan brsendiwara sdah la.Kok2 kerajaan ambik tindakan....lpas ini akan ada yg buat tunjuk perasaan kerana zalim la n macam2 la...bagi sya prlu dbuat kursus khas kpd manusia sprti ini.Lakukan pembersihan jiwa.Bagi kursus sivik agar tdak jdi macam itu.Bkan dua orang ni sja tapi...ramai lgi.buat spt.PLKN trhadap manusia spt ini.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....