KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menegaskan bahawa mereka tidak pernah berhenti menjalankan siasatan rasuah yang dipalitkan ke atas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.
Malah, SPRM berkata semua siasatan termasuk kes Taib dijalankan berasaskan keterangan dan bukti serta secara bebas, telus dan profesional.
“Dalam kes Taib, sepasukan 10 pegawai siasatan SPRM telah dibentuk bagi menjalankan siasatan. Ia merupakan langkah tambahan kepada siasatan yang telah dijalankan sebelum ini.
“Pasukan ini seterusnya telah mengambil keterangan daripada lebih 20 individu yang dipercayai terlibat dan disebutkan dalam sebuah video mengaitkan Taib yang didedahkan menerusi YouTube.
“Siasatan telah bermula sebelum video yang dimaksudkan didedahkan. Setakat ini, SPRM telah menyemak sekitar 400 fail yang dapat membantu siasatan,” kata SPRM dalam satu kenyataan media.
SPRM turut berkata bahawa satu pasukan petugas khas yang dianggotai suruhanjaya itu, Jabatan Peguam Negara dan agensi-agensi lain telah ditubuhkan bagi membantu mempercepatkan siasatan berkenaan kes Taib.
“ Sebaik sahaja siasatan selesai, laporan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan susulan.
“SPRM juga ingin menekankan, dalam keadaan di mana apabila siasatan telah selesai dan keputusan telah dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Panel Penilaian Operasi (PPO) akan dimaklumkan tentang status kes.
“PPO adalah panel bebas yang berperanan melihat aspek ketelusan dan kebebasan SPRM dalam setiap tindakan siasatan yang dijalankan.
“Panel ini dianggotai oleh individu pelbagai latar belakang profesional dan mereka dilantik mewakili masyarakat atas kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang bersesuaian bagi membolehkan mereka memainkan peranan dengan berkesan,” kata SPRM.
SPRM berkata kes ini mungkin akan mengambil masa untuk diselesaikan memandangkan ia melibatkan banyak dokumen dan banyak pihak.
“Pendirian SPRM adalah konsisten sepanjang masa. Setiap siasatan dijalankan tanpa mengira latar belakang dan pangkat individu yang disiasat.
“Malahan, sebagaimana kes-kes yang disiasat sebelum ini, termasuk ahli-ahli politik, SPRM tetap dengan pendirian tidak akan mendedahkan apa-apa butiran siasatan.
“Ia selaras dengan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 - yang memperuntukkan bahawa kandungan setiap aduan hendaklah dirahsiakan. Ia hanya boleh didedahkan apabila kes dibawa ke mahkamah.
“SPRM ingin menegaskan siasatan akan berterusan bagi mengumpul bukti dan keterangan dengan perkembangan-perkembangan terbaru yang ada,” kayanya sambil menambah bahawa dengan penjelasan ini, beberapa tuduhan yang mengatakan SPRM tidak menjalankan siasatan dan bersikap selektif dapat terjawab.
- SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....