UCAPAN BERBAUR HASUTAN : TIAN CHUA DAN 4 AKTIVIS PR DIDAKWA HARI INI

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan empat lagi aktivis pembangkang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina dua minggu lepas.

Bagaimanapun, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, bersama Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Muhammmad Safwan Anang @ Talib, 24, anggota PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 63, dan aktivis pembangkang Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsharidah Awang.




Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Norsharidah membenarkan kesemua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap kesemua tertuduh.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Haris tidak membantah jaminan itu dan ia turut disokong peguam N.Surendran, yang mewakili Tian Chua, peguam Ariff Azami Hussein, mewakili Muhammad Safwan dan Mohd Tamrin.

Sementara itu, Surendran yang mewakili barisan pembelaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan atas alasan pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh tidak berasas dan salah guna kuasa mahkamah.

Surendran juga memberitahu mahkamah telefon bimbit Tian Chua dirampas polis selepas penahanannya pada 23 Mei lalu berhubung Akta Hasutan.

"Sejak anak guam saya ditahan dan kemudian majistret menolak permohonan reman terhadapnya, sehingga hari ini telefon bimbitnya masih tidak diperoleh," katanya.

Mohamad Abazafree berkata telefon itu kini berada di CyberSecurity dan pihaknya tiada bantahan untuk memulangkan kembali telefon itu.

Mahkamah turut memerintahkan telefon bimbit yang diambil diserahkan kembali kepada mereka.

Prosiding itu turut dihadiri anggota keluarga masing-masing selain beberapa pemimpin pakatan pembangkang seperti Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Sejam kemudian, seorang lagi aktivis pembangkang Hishamuddin Md Rais mengaku tidak bersalah di mahkamah sama terhadap pertuduhan yang sama.




Hishamuddin, 62, didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan tempat sama mengikut seksyen yang sama.

Pendakwaan yang turut dikendalikan Mohamad Abazafree menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan alasan jumlah tersebut adalah munasabah.

Peguam Murnie Hidayah Anuar yang mewakili Hishamuddin memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya telah menyerah diri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, pada 10.45 pagi ini.

Norsharidah membenarkan Hishamuddin diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

1 ulasan:

  1. Berita terkini....

    HASUTLAH pulak rakyat jelata di Shah Alam....

    Bayaran parking dari 40sen/jam dah naik ke 60sen/jam.

    KENAPA naik sekarang.....kan lebih baik dibuat sebelum PRU13.... dah menanggung kerugian untuk tempoh sebulan....

    PAKATAN tak pandai merancang ekonomi....

    ISU penting dimasukkan kedalam PERHIMPUNAN HARAM yang seterusnya....

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....