PAPAR - Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menerima tamparan hebat menjelang pilihan raya umum Ahad ini apabila seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi (AMT) negeri, Abdul Aziz Abdul Hamid keluar parti untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
Penyertaan beliau ke dalam BN diumumkan pada majlis bersama rakyat di Kampung Dambai, dekat sini Khamis, yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Pada 25 April lepas, empat ketua cabang dan seorang timbalan ketua cabang PKR keluar parti untuk menyertai Umno.
Mereka ialah ketua cabang PKR Sandakan, Mazhry Nasir, ketua cabang PKR Kota Belud, Saidil Simoi, ketua cabang PKR Kalabakan, Irianshah Yunus, pemangku ketua cabang PKR Putatan, Abdul Zainal Atin dan timbalan ketua cabang PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan.
Terdahulu, dalam ucapannya sempena program bersama rakyat itu, Musa berkata kemasukan AMT tertinggi PKR negeri itu membuktikan rakyat mulai hilang kepercayaan terhadap perjuangan pakatan pembangkang.
Oleh itu, beliau mengajar rakyat Sabah khususnya di Parlimen Papar dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang dan DUN Pantai Manis untuk memberi sokongan padu kepada BN.
Musa berkata kehadiran ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat ke setiap program pemimpin bersama rakyat yang dihadirinya di seluruh Sabah membuktikan sokongan rakyat negeri ini terhadap BN tetap kukuh.
"Sokongan rakyat itu memberi keyakinan bahawa BN akan mengulangi kemenangan besar pada pilihan raya umum kali ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, calon BN bagi Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, calon DUN Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan, calon DUN Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Osu Sukam, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Osman Jamal dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Maznah Abdul Ghani - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....