IPOH, 13 Mei - Seorang doktor pelatih yang menyamar sebagai anggota polis dengan mengenakan vest lut sinar berpangkat ASP diberkas polis selepas cuba menyamun seorang peniaga di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata selain doktor berusia 26 tahun itu, polis turut memberkas tiga rakan suspek, dua daripadanya masing-masing berumur 24 tahun dan 21 tahun, kesemua berasal dari sini.
Gambar Hiasan
"Dalam kejadian pada pukul 4.25 pagi itu, suspek pertama bersama-sama tiga penuntut kolej swasta yang menaiki kereta Mercedes berwarna perak miliknya bertindak menghalang kereta yang dipandu mangsa berumur 30 tahun di Jalan Dato Onn Jaafar," kata Sum kepada pemberita hari ini.
Suspek pertama yang memakai vest polis itu kemudiannya terus membuka pintu kereta mangsa dan menumbuk dada mangsa serta memberitahu bahawa dirinya seorang ''polis CID'' dengan menunjukkan kad ''kuasa'' sambil mempamerkan sepucuk ''pistol'' yang sebenarnya pistol mainan di pinggangnya, katanya.
Beliau berkata suspek berkenaan meminta wang tunai RM350 daripada peniaga itu jika mahu ''selesai'' selain mengugut akan membawa mangsa ke Balai Polis Sungai Senam di sini jika gagal memenuhi tuntutan itu.
Sementara itu, seorang daripada rakan suspek menaiki kereta mangsa dan mengikut mangsa menuju ke sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah bagi tujuan pengeluaran wang menerusi mesin ATM namun mesin berkenaan telah tutup.
"Suspek pertama kemudian meminta tambahan RM100 lagi selepas kecewa apabila mesin ATM tidak boleh digunakan.
"Mangsa mahu meminta tolong daripada rakannya tetapi tidak dibenarkan oleh suspek dan ketika itulah polis berkereta peronda tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan petugas Balai Polis Pekan Baru yang menerima maklumat orang awam," katanya.
Sum berkata pihaknya terus menahan keempat-empat suspek dan merampas sepucuk pistol penembak cicak, sarung pistol, gari dan kunci gari, vest polis, topi berlambang PDRM, lampu bikon dan kad Agensi Ranger Khas Malaysia.
Beliau berkata kesemua mereka yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Suspek pertama yang beralamat di Semenyih, Selangor itu, merupakan doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini sejak lebih setahun, katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....